
TUARAN: Kerajaan Sabah sedang meneliti cadangan memperluaskan Kinabalu UNESCO Global Geopark (KUGGp) bagi merangkumi sebahagian kawasan Tuaran, susulan penemuan potensi geologi, biodiversiti dan warisan budaya di daerah itu.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata penemuan awal Ekspedisi Saintifik Geo-Sulaman (EGOS 2025) pada April tahun lalu menunjukkan Tuaran memiliki ciri geologi unik selain kaya dengan biodiversiti, warisan budaya serta pengetahuan komuniti yang bernilai.
Katanya, semua aset berkenaan wajar dikaji dan didokumentasikan secara teliti bagi menentukan kesesuaiannya dimasukkan dalam kerangka pemuliharaan serta pembangunan mampan yang lebih luas.
“Langkah ini dapat memperkukuh keterhubungan ekologi dan ekopelancongan Sabah,” katanya dalam ucapan majlis penutupan Misi Penilaian Semula KUGGp, di sini, hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin.
Hajiji berkata, KUGGp kini meliputi kira-kira 4,750 kilometer persegi merentasi Kota Belud, Kota Marudu dan sebahagian Ranau.
Katanya, keluasan dan kepelbagaian komuniti dan bidang kuasa pentadbiran memerlukan strategi pengurusan jangka panjang yang jelas dan terselaras.
Sehubungan itu, Pelan Pengurusan Kinabalu UNESCO Global Geopark 2026-2035 diperkenalkan bagi menggantikan Pelan Pengurusan Interim 2021-2025.
“Pelan baharu itu mengintegrasikan tonggak utama geopark iaitu pemuliharaan sumber, penyelidikan, pendidikan dan pembangunan sosioekonomi,” katanya.
Beliau berkata misi penilaian semula yang bermula 10 Ogos lalu bukan sekadar untuk mengekalkan pengiktirafan UNESCO, sebaliknya peluang memperkukuh pengurusan, penyertaan komuniti dan tindakan pemuliharaan di lapangan.
Hajiji berkata, menjelang 2035, KUGGp diharap menjadi model pengurusan landskap bersepadu bertaraf global yang mengimbangi pemuliharaan, kesejahteraan komuniti dan kemakmuran mampan.
Katanya, struktur tadbir urus KUGGp turut diperkukuh melalui kerjasama pelbagai pihak bagi memastikan keperluan pembangunan tempatan dan kapasiti komuniti dapat dikenal pasti serta diselaraskan secara lebih berkesan. – UTUSAN
The post Sabah teliti perluasan Geopark Kinabalu ke Tuaran appeared first on Utusan Malaysia.


