Sabah terus perkasa produk pelancongan

LocalTravel
4 Jul 2025 • 12:52 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

By: Sabah Publishing House Sdn Bhd

SEMPORNA: Kerajaan negeri terus memperkasakan produk pelancongan Sabah ke peringkat antarabangsa, kata Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan.

Menurutnya, pelbagai langkah dan tindakan dilaksanakan bagi mengangkat dan mempromosi keunikan budaya, agama dan alam semula jadi kepada masyarakat global.

“Dalam pelan hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang diperkenalkan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor, pelancongan merupakan salah satu sektor yang boleh memberi pulangan ekonomi kepada negeri ini, selain daripada pertanian dan juga perindustrian.

window.googletag = window.googletag || {cmd: []};googletag.cmd.push(function() {googletag.defineSlot('/22826383987/dailyexpress_inline', [1, 1], 'gpt-passback').addService(googletag.pubads());googletag.enableServices();googletag.display('gpt-passback');});“Justeru, kerajaan negeri menyusun pelbagai langkah dan juga tindakan yang berkaitan dalam mempertingkatkan dan mempromosikan lagi bidang pelancongan ini.

“Antaranya, penganjuran Regatta Lepa yang menawarkan pelbagai keunikan bukan sahaja dari segi kepelbagaian agama, tetapi budaya dan alam semula jadi kepada masyarakat antarabangsa.

“Kita melihat Regatta Lepa ini adalah satu produk pelancongan yang memang diberi perhatian oleh kerajaan hari ini dan saya ingin mengucapkan tahniah kepada Kementerian Pelancongan kerana setiap tahun tidak pernah gagal untuk menganjur, sekali gus memperkenalkan Sabah, khususnya Semporna kepada masyarakat antarabangsa,” ujarnya kepada media sempena Acara Perarakan Lepa Sambutan Regatta Lepa Semporna Kali Ke-30 di sini.

Sehubungan itu, Nizam turut mendedahkan kementeriannya juga telah memohon penambahan peruntukan bagi memperkasakan lagi sektor pelancongan.

“Kerajaan turut memohon penambahan peruntukan, jadi kita berharap Kementerian Pelancongan sebagai satu kementerian bertanggungjawab memastikan segala infra berkaitan pelancongan ini dapat dipertingkatkan.

“Saya yakin sekiranya segala permohonan itu mempunyai asas-asas yang kukuh yang boleh diberi keutamaan, dengan hasil negeri yang semakin hari semakin meningkat, kita akan pastikan juga bahawa peruntukan untuk pelancongan dapat dipertingkatkan dan diperkasakan,” jelas beliau.

Mengenai masyarakat Bajau Laut, Nizam berkata, budaya golongan tersebut juga dijadikan tarikan pelancong untuk mengunjungi pulau-pulau di daerah berkenaan.

“Masyarakat Bajau Laut ini adalah masyarakat yang sudah lama wujud di perairan Sabah, dan sudah semestinya merupakan satu tarikan pelancongan.

“Jadi saya berharap Kementerian Pelancongan dapat mengkaji sekiranya ini boleh memberi hasil pelancongan yang bagus. Kita juga harus menetapkan peraturan-peraturan (SOP) yang akan dipatuhi oleh semua,” katanya.

Sebanyak lapan perahu lepa bertanding bagi merebut kejuaraan Lepa Tradisi, antaranya, Lepa Abisa, Lepa Legasi, Lepa Dorogaan dan Lepa Makasali, yang menarik minat lebih 50,000 pengunjung ke pesta itu.

Hadir sama menyaksikan perarakan ialah Pegawai Daerah Alexander Liew, yang juga Pengerusi Jawatan Kuasa Pelaksana Sambutan Regatta Lepa Kali Ke-30, dan Pembantu Menteri Kewangan II Datuk Tan Lee Fatt.