
ALOR SETAR: Syarikat Air Darul Aman Sdn. Bhd. (SADA) membelanjakan sebanyak RM228.1 juta bagi melaksanakan 94 projek pembangunan bekalan air di seluruh Kedah sepanjang tempoh 2021 hingga 2026.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Bekalan Air, Sumber Air dan Alam Sekitar negeri, Datuk Mohamad Yusoff @ Munir Zakaria berkata, sepanjang tempoh tersebut sebanyak 94 projek pembangunan bekalan air dilaksanakan bagi meningkatkan keupayaan dan kecekapan sistem bekalan air selain memperkukuh infrastruktur sedia ada.
“Perbelanjaan tahunan tersebut masing-masing berjumlah RM16.2 juta pada 2021, RM28.9 juta (2022), RM25 juta (2023), RM28.6 juta (2024), RM64.4 juta (2025) dan RM65 juta (2026).
“Pelaksanaan projek-projek pembangunan bekalan air ini melibatkan seluruh daerah di Kedah dengan jumlah penerima manfaat seramai 460,053 akaun pengguna,” katanya menjawab soalan daripada Hanif Ghazali (PN-Tanjung Dawai) pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di sini, hari ini.
Jelasnya, pelaksanaan projek berkenaan juga menggunakan sepenuhnya peruntukan SADA tanpa sebarang pinjaman dari institusi kewangan mahupun Kerajaan Persekutuan.
Tambahnya, antara projek utama adalah projek membina, mengorek dan membersihkan muka sauk ke sistem rawatan di Loji Rawatan Air (LRA) Tupah yang runtuh dan mengalami kerosakan akibat bencana kepala air. – UTUSAN
The post SADA belanja RM228.1 juta baiki bekalan air Kedah appeared first on Utusan Malaysia.






