AKSB, Ranhill Technologies bekerjasama kurangkan kehilangan air tidak berhasil di Kelantan menerusi projek RM85 juta

LocalBusiness & Finance
13 Nov 2026 • 12:45 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

AKSB, Ranhill Technologies bekerjasama kurangkan kehilangan air tidak berhasil di Kelantan menerusi projek RM85 juta Image from: AKSB, Ranhill Technologies bekerjasama kurangkan kehilangan air tidak berhasil di Kelantan menerusi projek RM85 juta liza13/11/2026 - 12:45 Projek berkenaan dibiayai menerusi dana Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) dengan tempoh kontrak selama 36 bulan bermula Oktober 2026 hingga Oktober 2029 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 13 Nov – Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) bekerjasama dengan Ranhill Technologies Sdn Bhd (RTSB) bagi melaksanakan Program Air Tidak Berhasil (NRW) Nasional Pendekatan 1, Fasa 2 (Reka dan Bina) di Kelantan membabitkan nilai projek RM84.78 juta.

 

Kerjasama itu dimulakan menerusi pemeteraian Perjanjian Kerahsiaan Data (NDA) antara kedua-dua syarikat bagi membolehkan perkongsian data dan maklumat berkaitan projek dilakukan secara terkawal.

 

Projek berkenaan dibiayai menerusi dana Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) dengan tempoh kontrak selama 36 bulan bermula Oktober 2026 hingga Oktober 2029.

 

AKSB diwakili Pengurus Besarnya, Azhar Hanafi, manakala RTSB diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Izani Ibrahim pada majlis pemeteraian perjanjian berkenaan.

 

Majlis itu berlangsung di pejabat RTSB di Johor Bahru sempena lawatan teknikal AKSB ke Ranhill SAJ Sdn Bhd (RSAJ) bagi meninjau sistem pengebilan serta pelaksanaan program pengurangan NRW oleh syarikat berkenaan.

 

AKSB dalam satu kenyataan memaklumkan perjanjian NDA itu menyediakan asas bagi perkongsian data dan maklumat projek, selain memastikan kerahsiaan maklumat yang dikongsi antara kedua-dua pihak bagi tujuan perancangan serta pelaksanaan program.

 

Lawatan berkenaan turut memberi peluang kepada AKSB meneliti persediaan RTSB untuk melaksanakan projek pengurangan NRW di Kelantan.

 

Tinjau pengalaman pengurusan NRW Ranhill SAJ

AKSB berkata, lawatan teknikal itu turut menjadi platform perkongsian pengalaman dalam pengurusan sistem pengebilan dan usaha mengurangkan NRW, khususnya bagi mengenal pasti amalan bersesuaian untuk diterapkan dalam operasi syarikat berkenaan.

 

“Kerjasama antara AKSB dan RTSB itu diharap dapat membantu memastikan pelaksanaan program pengurangan NRW di Kelantan berjalan dengan lebih tersusun, selain meningkatkan kecekapan operasi. Usaha berkenaan juga dijangka menyokong kemampanan perkhidmatan bekalan air kepada rakyat Kelantan,” katanya.

 

Ketika ini, kadar NRW Air Kelantan susut kepada 53.5% daripada 55% susulan peningkatan kecekapan sistem bekalan air negeri itu.

 

Penurunan 1.5 mata peratusan itu bermakna jumlah air terawat yang hilang dalam sistem sebelum sampai kepada pengguna semakin berkurangan yang dapat membantu meningkatkan keberkesanan pengagihan bekalan air.

 

Namun, kerajaan negeri mahu momentum tersebut diteruskan menerusi penggantian paip secara berperingkat serta mempercepatkan projek pembinaan dan naik taraf loji rawatan air (LRA), terutama di kawasan yang kerap mengalami gangguan bekalan.

 

Sehingga Ogos 2026, sebanyak 252.47 kilometer (km) paip telah siap diganti, manakala 54.5 km lagi masih dalam pelaksanaan. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved