
KOTA KINABALU: Semangat berpasukan, disiplin serta komitmen yang tinggi menjadi kunci kejayaan bagi pasukan Sabah Fish Marketing Sdn. Bhd. Football Club (Safma FC) selepas berjaya merangkul kejuaraan berprestij, baru-baru ini.
Pasukan itu mempamerkan aksi cemerlang untuk muncul juara dalam Kejohanan Bola Sepak Antara Jabatan Daerah Beaufort yang berlangsung sengit selama dua hari bermula pada 19 hingga 20 September lalu di Padang Majlis Daerah Beaufort.
Pihak pengurusan Safma turut merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada seluruh pemain Safma FC, barisan kejurulatihan serta seluruh warga kerja yang sentiasa memberikan sokongan tidak berbelah bahagi.
Majlis penyerahan piala kemenangan turut diadakan di pejabat Safma yang dihadiri pengurus pasukan Vallentino Leo, Timbalan Pengurus Besar Azis Ali Amat, serta jurulatih Saidul Saikin.


