‘Saham akhirat saya’ – Diva M potong rambut amal sempena merdeka

31 Aug 2026 • 10:38 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: ‘Saham akhirat saya’ –  Diva M potong rambut amal sempena merdeka

KAJANG – Berpewatakan ‘lembut’ yang seringkali mudah menjemput cemuhan tidak bertulang khalayak bukan penghalang buat pempengaruh dikenali sebagai Diva M atau Mohd. Muzakir untuk memberi bakti kepada masyakat bersempena dengan Hari Kemerdekaan Malaysia yang ke-69. 

Diva M, 37, sempat meluangkan masa bersama penghuni Rumah Seri Kenangan (RSK) Cheras menerusi program khidmat potong rambut percuma.

Baginya, peluang mendekati warga emas di pusat berkenaan bukan sekadar aktiviti kebajikan, sebaliknya turut mengingatkannya kepada kedua-dua ibu bapanya.

“Saya rasa nak menangis pun ada. Pertama kali saya datang untuk buat program pemotongan rambut di rumah warga emas.

“Terasa diri ini macam diberikan peluang yang sangat besar dalam kehidupan saya,” katanya kepada Kosmo! Online baru-baru ini. 

Lebih menyentuh hati, Diva M turut terkenangkan arwah bapanya ketika berdepan sendiri dengan warga emas yang sudah uzur di rumah kebajikan terbabit

“Tengok orang di sini, saya akan terfikir orang tua saya. Ayah saya dah tak ada, tapi saya fikir mak saya. Apa yang saya nampak pada hari ini (tempoh hari), mak saya dengan orang di sini sama saja.

“Umur mereka pun 60 lebih. Jadi saya teringat kepada parent saya. Saya fikir, satu hari pun saya akan berada di tempat mereka. Tapi kita cuba yang baik-baiklah. Cuba yang baik-baik, insya-Allah” ujarnya.

Program amal yang berlangsung pada 25 Ogos lalu itu menyaksikan Diva M bersama kira-kira 15 anggota pasukannya menawarkan khidmat potong rambut secara percuma kepada penghuni RSK Cheras.

Pengasas jenama Diva Beauty Hair Care itu turut membawa anaknya bersama memandangkan program berkenaan berlangsung ketika cuti umum, sekali gus mahu memberi pendedahan mengenai kepentingan membantu golongan memerlukan.

Bagi Diva M, kemahiran menggunting rambut yang dimiliki tidak seharusnya digunakan bagi tujuan perniagaan semata-mata.

“Mungkin dekat luar saya anggap ini benda yang simple, tapi bagi saya ini sangat berharga. Bukan semua orang boleh potong rambut.

Image from: ‘Saham akhirat saya’ –  Diva M potong rambut amal sempena merdeka

“Jadi bila ada kelebihan di sini, saya akan gunakan dan saya akan tolong ramai orang nanti. Pada masa sama, saya juga ingin berterima kasih kepada RSK dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kerana beri kerjasama kepada pihak kami untuk menjayakan program ini,” katanya.

Dalam masa sama, pengalaman merapikan rambut warga emas juga bukan sesuatu yang asing buat Diva M kerana dia sebelum ini sering melakukan perkara sama terhadap ibunya.

Katanya, sekiranya ibunya tidak dapat berkunjung ke rumah atau enggan keluar, dia sendiri akan pulang ke kampung untuk menggunting rambut insan kesayangannya itu.

Diva M turut menyifatkan program kebajikan tersebut sebagai salah satu cara untuk berkongsi semula rezeki yang diterima hasil sokongan orang ramai terhadap perniagaannya.

“Rakyat Malaysia selalu sokong dan pilih produk saya. Alhamdulillah, sedikit hasil daripada produk saya saya akan salurkan kepada orang yang memerlukan.

“Sebab saya fikir benda ini satu amalan dan saham akhirat bagi saya,” katanya.

Enggan hanya bernoktah sekali, antara perancangan yang difikirkan masa mendatang termasuk mengadakan sesi santai seperti minum petang supaya dia dan pasukannya dapat meluangkan lebih banyak masa bersama penghuni RSK Cheras.

Program khidmat potong rambut percuma tersebut dianjurkan bersempena sambutan Maulidur Rasul dan Hari Kebangsaan Malaysia ke-69. – KOSMO! ONLINE

The post ‘Saham akhirat saya’ – Diva M potong rambut amal sempena merdeka appeared first on Kosmo Digital.

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved