Saham Butterfield memulakan dagangan di Pasaran ACE pada 43 sen

Business & Finance
15 Sep 2026 • 9:54 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Saham Butterfield memulakan dagangan di Pasaran ACE pada 43 sen Image from: Saham Butterfield memulakan dagangan di Pasaran ACE pada 43 sen johardy15/09/2026 - 09:54 Oleh JOHARDY IBRAHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 15 Sept - Butterfield FB Berhad memulakan dagangan sulung di Pasaran ACE Bursa Malaysia hari ini pada harga 43 sen sesaham, berbanding harga tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak 48 sen.

 

Harga pembukaan itu adalah 10.4% lebih rendah berbanding harga IPO.

 

Bagaimanapun, pada pukul 9.05 pagi, saham pengeluar campuran teh dan kopi itu meningkat 1.5 sen kepada 44.5 sen dengan kira-kira 16.8 juta saham bertukar tangan.

 

Pada harga tersebut, Butterfield mempunyai nilai pasaran sekitar RM356 juta.

 

Penyenaraian Butterfield menyusuli IPO yang melibatkan terbitan awam sebanyak 150 juta saham baharu dan mengumpul sehingga RM72 juta untuk syarikat.

 

Daripada jumlah itu, sebanyak RM37.8 juta diperuntukkan bagi modal kerja, terutama untuk pembelian serbuk ekstrak kopi dan teh serta bekalan lain.

 

Sebanyak RM15.2 juta pula akan digunakan untuk mengembangkan ibu pejabat kumpulan di Bukit Minyak, Pulau Pinang, termasuk pembinaan ruang pengeluaran dan penyimpanan tambahan serta pembelian mesin.

 

Butterfield rancang tambah kapasiti pengeluaran

Sebanyak RM13 juta diperuntukkan bagi pelaburan strategik serta aktiviti penggabungan dan pengambilalihan (M&A) melibatkan pemilik jenama kopi segera dan campuran teh, manakala baki RM6 juta untuk perbelanjaan penyenaraian.

 

Butterfield turut merancang barisan pengeluaran keempat yang akan meningkatkan jumlah kapasiti pengeluaran tahunan kepada 12,597 tan.

 

Kumpulan itu ketika ini mengendalikan dua barisan pengeluaran campuran serbuk ekstrak kopi dan teh serta satu barisan serbuk matcha yang mula beroperasi pada Februari dengan kapasiti tahunan 312 tan.

 

Timbalan Pengerusi Butterfield, Yeap Kim Siew berkata penyenaraian di Pasaran ACE menyediakan platform lebih kukuh kepada kumpulan untuk memasuki peringkat pembangunan seterusnya.

 

“Dengan sumber yang diperoleh daripada IPO, kami akan terus mengembangkan keupayaan pengeluaran, memperkukuh operasi dan membangunkan produk baharu termasuk campuran serbuk ekstrak matcha,” katanya pada majlis penyenaraian.

 

Kumpulan itu mempunyai kemudahan pembuatan bersepadu di Malaysia serta kemudahan gudang dan penyimpanan di Thailand bagi menyokong pengedaran serantau.

 

IPO Butterfield sebelum ini terlebih langgan sebanyak 18.7 kali.

 

Ia turut melibatkan tawaran jualan 72 juta saham sedia ada oleh Kim Siew dan Pengarah Eksekutif, Yeap Chin Loon yang menghasilkan RM34.56 juta kepada kedua-duanya.

 

Kim Siew menjual 21.6 juta saham manakala Chin Loon melupuskan 50.4 juta saham, menjadikan pegangan langsung mereka masing-masing sebanyak 23.8% dan 31.1%.

 

M&A Securities Sdn Bhd bertindak sebagai penasihat utama, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved