amree14/09/2026 - 12:10 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 14 Sept — Yes Group Management Berhad memperoleh kelulusan daripada Bursa Malaysia Securities Berhad untuk penyenaraian di Pasaran ACE, sekali gus membuka ruang perluasan operasi.
Pengendali jenama Yes Travel dan penyedia rumusan mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran (MICE) itu berkata, langkah tersebut akan menyokong fasa pertumbuhan seterusnya kumpulan berkenaan.
Usaha itu termasuk pengembangan perkhidmatan pengangkutan darat di Eropah, penubuhan pejabat serantau di United Kingdom (UK) serta pembangunan pusat latihan dan pembangunan Yes Academy.
"Cadangan tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak 137.8 juta saham terdiri terbitan awam 91.87 juta saham biasa baharu dan tawaran jualan 45.93 juta saham biasa sedia ada," katanya dalam kenyataan.
Sebanyak 26.50 juta saham diperuntukkan kepada pelabur awam Malaysia, manakala 5.30 juta saham ditawarkan kepada pengarah, pekerja dan individu yang layak melalui Peruntukan Borang Merah Jambu.
Ujar Yes Group, sebanyak 60.07 juta saham pula diperuntukkan melalui penempatan persendirian kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).
Bagi tawaran jualan, sebanyak 6.18 juta saham akan ditawarkan melalui penempatan persendirian kepada pelabur Bumiputera diluluskan MITI, manakala 39.75 juta saham lagi kepada pelabur terpilih.

"Selepas disenaraikan, modal saham terbitan dijangka meningkat kepada 530 juta saham, dan menyediakan platform pengembangan keupayaan serta meneruskan strategi pertumbuhan," jelasnya.
Menurut Yes Group, hasil IPO akan diguna bagi memperluaskan perkhidmatan di Eropah dan menubuhkan pejabat di UK, yang mengukuhkan keupayaan serta meningkatkan daya saing harga dan kawalan kos.
Katanya, Yes Academy turut akan diwujudkan sebagai pusat latihan bagi melahirkan ramai pengurus pelancongan, sejajar usaha kumpulan memenuhi permintaan yang semakin meningkat dalam industri MICE.
Kumpulan itu bermula pada 2008 melalui penubuhan Yes Travel & Events Consultant Sdn Bhd sebelum berkembang daripada perancangan acara korporat kepada pelancongan insentif domestik pada 2010.
"Di samping itu, Yes Group menawarkan rumusan MICE sehenti kepada pelanggan korporat, disokong proses operasi berstatus ISO 9001:2015 serta pelaksanaan aplikasi mudah alih Yes Travel," katanya.
Pengarah Urusan kumpulan berkenaan, Angela Mak Shau Kwan berkata, penyenaraian di Pasaran ACE tersebut merupakan langkah penting dalam perjalanan pertumbuhan jangka panjang syarikat tersebut.
Malacca Securities Sdn Bhd dilantik untuk bertindak sebagai penasihat utama, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan bagi proses IPO berkenaan. - DagangNews.com






