Saham Fibromat susut 16% kepada 46 sen pada penampilan sulung di Pasaran ACE

08/05/2025 - 11:08
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
KUALA LUMPUR 8 Mei - Firma perkhidmatan geoteknik, Fibromat (M) Bhd membuat penampilan sulung yang mengecewakan di Pasara ACE Bursa Malaysia apabila dibuka pada harga 46 sen atau 16% lebih rendah berbanding tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak 55 sen sesaham selepas pemindahan penyenaraian daripada Pasaran LEAP.
Setakat 9.15 pagi, saham itu didagangkan pada 46.5 sen selepas mencecah paras rendah 41 sen dengan 11.36 juta saham bertukar tangan.
Fibromat merupakan saham ketiga paling aktif didagangkan pada sesi pagi, ketinggalan berbanding penampilan pertama yang lain.
Pada harga terakhir, syarikat itu mempunyai permodalan pasaran sebanyak RM115 juta.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Fibromat, Ng Kian Boon berkata, dengan dana sebanyak RM17.8 juta yang berjaya dikumpulkan daripada pelaksanaan IPO, pihaknya akan menggunakan kira-kira RM7.6 juta mesin berkaitan dan ia akan dipasang di kilang kumpulan itu yang terletak di Rasa, Selangor.
Katanya, kumpulan juga berhasrat mengembangkan keupayaan dalaman dengan menambah perkhidmatan pemasangan longkang pasang siap (PVD) melalui penubuhan pasukan pemasangan PVD serta pembelian lima unit jentera penggali hidraulik.
PVD merupakan bahan geosintetik yang dipasang di tanah lembut untuk tujuan penstabilan dan penambahbaikan tanah.
"Berdasarkan rekod prestasi dan pengalaman dalam menyediakan pelbagai rumusann geoteknikal yang pragmatik kepada kontraktor untuk pembinaan Lebuhraya Pantai Barat di Semenanjung Malaysia serta kepada kontraktor pembinaan Jalan Trunk Kedua Sarawak dan Lebuhraya Pan Borneo Fasa 1A di Malaysia Timur.
"Kami kini sedang giat membida beberapa pakej kerja untuk projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa 1B yang bernilai RM15.70 bilion dan projek Jalan Penghubung Sarawak-Sabah yang bernilai RM7.4 bilion di Malaysia Timur," katanya dalam satu kenyataan.
Syarikat itu merupakan IPO ke-20 di Bursa Malaysia tahun ini, menyertai gelombang penyenaraian yang bergelut dengan ketidaktentuan yang dicetuskan oleh tarif.
Permintaan pelabur terhadap IPO Fibromat juga lemah, dengan jumlah permohonan hampir-hampir sahaja mencukupi untuk menampung jumlah saham yang ditawarkan.
Bagaimanapun, IPO tersebut berjaya mengumpul sejumlah RM31.4 juta, di mana RM17.8 juta disalurkan kepada keluarga yang mengendalikan syarikat itu, manakala Pengarah Urusan, Ng Kian Boon meraih RM13.6 juta hasil penjualan sebahagian saham miliknya.
Salah seorang anaknya, Ng Chun Hou, berkhidmat sebagai pengarah eksekutif, manakala seorang lagi anaknya, Ng Chun Yew, merupakan pengurus kanan operasi.
Dana yang dikumpulkan semasa penyenaraian di Pasaran LEAP pada Mei 2019 telah habis digunakan.
Hasil daripada IPO di Pasaran ACE akan digunakan untuk membiayai pembelian mesin baharu serta menyokong penubuhan pasukan pemasangan saliran menegak prafabrikasi dalaman dan pembelian lima jentera penggali hidraulik.
Baki dana akan digunakan sebagai modal kerja dan menampung perbelanjaan penyenaraian.
M&A Securities merupakan penasihat utama, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan untuk IPO. - DagangNews.com
standard


