TA Securities menilai harga saham Eco-Shop yang bakal disenaraikan di Pasaran Utama pada RM1.28

06/05/2025 - 16:50
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
KUALA LUMPUR 6 Mei - TA Securities memberikan nilai wajar kepada Eco-Shop Marketing Bhd pada RM1.28 sesaham.
Penilaian tanpa penarafan itu adalah 5.78% lebih tinggi daripada harga tawaran awam permulaan (IPO) RM1.21 sesaham dengan kumpulan itu bakal disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada 23 Mei 2025.
"Kami mengaitkan sasaran nisbah harga kepada pendapatan (PER) sebanyak 39.2x berdasarkan pendapatan sesaham (EPS) FY24.
"Penilaian itu adalah wajar, memandangkan kami membandingkan Eco-Shop dengan peruncit domestik berskala besar di Malaysia," katanya dalam satu nota kajian.
Ditubuhkan pada 2006, Eco-shop merupakan kedai harga rendah terkemuka di Malaysia dengan 358 cawangan di seluruh negara.
Katanya, sehingga Mac 2025, kumpulan itu menawarkan kira-kira 13,000 unit penyimpanan stok (SKU) merangkumi empat kategori utama iaitu barangan am, makanan, bukan makanan dan barangan lembut seperti pakaian.
Semua produk (tidak termasuk produk di kedai format Eco-Plus) berharga mampu milik pada RM2.60 di Semenanjung Malaysia dan RM2.80 di Malaysia Timur, terutamanya untuk kumpulan pendapatan B40 dan M40.
"Untuk menarik pangkalan pelanggan yang lebih luas, kumpulan itu memperkenalkan kedai format Eco-Plus, yang menampilkan rangkaian produk yang lebih luas pada harga yang berbeza-beza. Pada masa ini, Eco-Shop mengendalikan 22 kedai Eco-Plus," katanya.
TA Securities berkata, kumpulan itu merancang untuk mengembangkan rangkaian jualannya dengan menubuhkan purata 70 kedai baharu setahun, dengan kebanyakan saiz kedai antara 4,000 kaki persegi hingga 10,000 kaki persegi dalam tempoh lima tahun akan datang.
Sementara itu, kumpulan itu menyasarkan untuk mengekalkan campuran kedai semasanya, dengan majoritinya adalah format lot kedai dan kendiri.
"Perbelanjaan modal (capex) bagi setiap kedai baharu dijangka antara RM800,000 hingga RM1.5 juta, bergantung kepada saiz dan lokasi kedai," katanya.
Firma penyelidikan itu berkata, sektor runcit berasaskan kedai di Malaysia telah mengalami perkembangan yang luar biasa, terbukti dengan peningkatan nilai jualan daripada RM183.1 juta pada 2016 kepada RM274.0 juta pada 2024E.
Melangkah ke hadapan, industri runcit berasaskan kedai di Malaysia diunjurkan terus berkembang dari 2024 hingga 2029.
"Pertumbuhan ini akan didorong oleh pasaran buruh yang stabil dan peningkatan perbelanjaan pengguna, disokong oleh pelbagai inisiatif yang digariskan dalam Bajet 2025," katanya.- DagangNews.com
standard


