johardy27/10/2026 - 18:05 Oleh JOHARDY IBRAHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 27 Okt - HB Global Limited berdepan risiko penggantungan dagangan sekuritinya di Bursa Malaysia mulai 10 November jika gagal menerbitkan laporan tahunan selewat-lewatnya pada 6 November ini, susulan penarikan balik persetujuan juruauditnya untuk bertindak sebagai juruaudit syarikat.
Syarikat itu memaklumkan kepada Bursa Malaysia bahawa ia menjangkakan tidak dapat memenuhi tarikh akhir ditetapkan pada 30 Oktober bagi menerbitkan laporan tahunan untuk tempoh kewangan berakhir 30 Jun 2026, yang merangkumi penyata kewangan beraudit serta laporan juruaudit dan pengarah.
HB Global berkata, jangkaan kelewatan itu berpunca terutamanya daripada tindakan UHY Malaysia PLT menarik balik persetujuan untuk bertindak sebagai juruaudit, yang menjejaskan penyempurnaan audit dan pemuktamadan laporan tahunan berkenaan.
Di bawah Keperluan Penyenaraian Bursa Malaysia, dagangan akan digantung jika syarikat gagal menerbitkan laporan itu dalam tempoh lima hari pasaran selepas tarikh akhir ditetapkan. Tempoh tersebut berakhir pada 6 November.
Penggantungan itu akan berkuat kuasa pada pukul 9 pagi, 10 November memandangkan 9 November merupakan cuti umum sempena Deepavali, melainkan ditentukan sebaliknya oleh Bursa Malaysia.
Pengawal selia Singapura tolak perubahan akhir tahun kewangan
Dalam perkembangan berkaitan, HB Global telah memohon kepada Penguasa Pengawalseliaan Perakaunan dan Korporat Singapura (ACRA) pada 15 Oktober untuk menukar tarikh akhir tahun kewangannya daripada 30 Jun 2026 kepada 30 November 2026. ACRA menolak permohonan tersebut pada 20 Oktober.
Syarikat mengemukakan rayuan pada 21 Oktober, namun ACRA menolaknya pada 27 Oktober. Oleh itu, cadangan perubahan tersebut tidak diluluskan dan HB Global kekal tertakluk kepada tarikh akhir asal Bursa Malaysia pada 30 Oktober bagi penerbitan laporan tahunan berkenaan.
HB Global berkata, ia belum dapat menetapkan jadual muktamad bagi menyelesaikan urusan audit yang masih tertangguh atau menjangkakan tarikh penerbitan laporan tahunan.
"Syarikat akan bekerjasama dengan penasihat profesional berhubung pelantikan juruaudit yang sesuai dan penyempurnaan audit bagi membolehkan laporan itu diterbitkan secepat mungkin," kata syarikat itu.
Sekiranya dagangan sekuriti HB Global di Bursa Malaysia digantung, penggantungan itu akan ditarik balik pada hari pasaran berikutnya selepas laporan tahunan diterbitkan, melainkan ditentukan sebaliknya oleh bursa.
Bursa Malaysia juga akan memulakan proses penyahsenaraian jika HB Global gagal menerbitkan laporan berkenaan dalam tempoh enam bulan selepas tarikh akhir asal, selain sebarang tindakan penguatkuasaan yang boleh diambil oleh bursa. - DagangNews.com






