liza23/10/2026 - 09:07 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 23 Okt – Meridian Bhd berdepan risiko dinyahsenarai daripada Bursa Malaysia pada 3 November 2026 selepas Bursa Malaysia Securities menolak permohonan kelima syarikat itu untuk mendapatkan lanjutan masa bagi mengemukakan pelan pemulihan kewangan.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, pemaju hartanah yang mengalami masalah kewangan itu berkata dagangan sahamnya akan digantung mulai 30 Oktober 2026.
Meridian perlu mengemukakan rayuan selewat-lewatnya pada 29 Oktober bagi menangguhkan proses penyahsenaraian sementara menunggu keputusan Bursa Malaysia Securities.
Bagaimanapun, penggantungan dagangan pada 30 Oktober tetap dilaksanakan walaupun rayuan masih belum diputuskan. Bursa Malaysia Securities juga tidak akan mempertimbangkan rayuan yang dikemukakan selepas tempoh ditetapkan.
Bursa persoal kemajuan pelan pemulihan
Menurut Meridian, Bursa Malaysia Securities berpendapat syarikat itu masih belum menunjukkan perkembangan ketara ke arah memuktamadkan dan mengemukakan pelan pemulihan kepada pihak berkuasa kawal selia berkaitan.
Pada 11 September lalu, Meridian mengemukakan permohonan kelima untuk melanjutkan tempoh pengemukaan pelan berkenaan sehingga 25 Jun 2027.
ARTIKEL BERKAITAN: Juruaudit gagal sahkan akaun Meridian, timbul keraguan keupayaan boleh terus beroperasi
Syarikat itu sebelum ini diklasifikasikan dalam kategori Nota Amalan 17 (PN17) pada April 2024 susulan pendapat penafian juruaudit terhadap penyata kewangannya bagi tempoh 17 bulan berakhir 30 November 2023.
Penyata kewangan bagi tempoh 18 bulan berakhir 31 Mei 2025 turut menerima pendapat penafian, manakala juruaudit luar UHY Malaysia PLT sekali lagi mengeluarkan pendapat sama terhadap penyata kewangan tahun kewangan berakhir 31 Mei 2026.
Kerugian RM11.18 juta, liabiliti melebihi aset
Bagi tahun kewangan 2026, Meridian mencatatkan kerugian bersih RM11.18 juta, manakala liabiliti semasanya melebihi aset semasa sebanyak RM48.11 juta.
Syarikat itu turut merekodkan aliran tunai operasi negatif RM1.93 juta serta gagal memenuhi pembayaran balik bagi pinjaman bank tertentu.
UHY Malaysia turut membangkitkan ketidakpastian mengenai keupayaan Meridian untuk meneruskan operasi, selain kekurangan bukti audit yang mencukupi berhubung baki awal akaun serta penilaian hartanah pelaburan dan inventori.
Menurut juruaudit, kelangsungan operasi syarikat bergantung pada beberapa faktor, termasuk kelulusan dan kejayaan pelaksanaan pelan pemulihan, sokongan pembiayaan serta keupayaan menjana aliran tunai yang mencukupi. - DagangNews.com






