PASARAN modal Indonesia mengalami kejatuhan pada Isnin, dengan saham mencatatkan kejatuhan dua hari terbesar dalam sejarah susulan pertimbangan MSCI untuk menurunkan status pasaran saham Indonesia kepada kategori standalone market menakutkan pelabur.
Pada masa sama, ia turut meningkatkan tekanan terhadap Jakarta untuk bertindak balas terhadap kebimbangan penyedia indeks berkenaan.
Menurut laporan Reuters, indeks penanda aras saham Jakarta jatuh lebih lima peratus pada Isnin ke paras terendah dalam tempoh enam tahun selepas merosot 11.6 peratus pada Jumaat.
Perubahan kepada status 'stand alone market' berisiko memutuskan akses ekonomi terbesar Asia Tenggara itu daripada modal antarabangsa, sekali gus meletakkannya dalam kelompok pasaran yang kurang mendapat perhatian pelabur dan meletakkannya sebaris dengan negara seperti Lubnan dan Zimbabwe.
Menjelang pertemuan antara Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Saham Indonesia, Jeffrey Hendrik dengan eksekutif MSCI bagi mendapatkan penjelasan berhubung perkara tersebut, beliau mengakui, pengumuman MSCI itu tidak dijangka sehingga mencetuskan panik pasaran.
“Kami dan Pihak Berkuasa Perkhidmatan Kewangan dan kebanyakan peserta MSCI, tidak menjangkakan perkara ini.
“Berdasarkan perbincangan dengan peserta pasaran termasuk pelabur global, semua bersetuju bahawa Indonesia memenuhi semua kriteria untuk mengekalkan status sebagai pasaran sedang pesat membangun,” katanya.
Dalam pada itu, kebimbangan terhadap ancaman itu turut merebak ke pasaran mata wang rupiah dan bon.
Rupiah melemah kepada 18,048 bagi setiap dolar Amerika Syarikat (AS), tidak jauh daripada paras terendah rekod 18,190 yang dicatatkan pada Jun, manakala penurunan harga bon kerajaan Indonesia mendorong hasil bon 10 tahun meningkat kepada 7.4 peratus berbanding 7.169 peratus pada Jumaat.
Tindakan MSCI itu diambil selepas penyedia indeks berkenaan mula membangkitkan kebimbangan pada Januari mengenai ketelusan pemilikan saham, sekali gus meningkatkan tekanan terhadap pengawal selia dan pegawai kewangan Indonesia ketika pelabur menilai semula pendedahan mereka terhadap aset negara itu secara lebih menyeluruh.


