Saham MyDCD dibuka 48 sen pada penampilan pertama di Pasaran ACE

LocalBusiness & Finance
17 Nov 2026 • 10:00 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Saham MyDCD dibuka 48 sen pada penampilan pertama di Pasaran ACE Image from: Saham MyDCD dibuka 48 sen pada penampilan pertama di Pasaran ACE liza17/11/2026 - 10:00 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 17 Nov – Saham MyDCD Berhad susut 14.29% pada penampilan sulungnya di Pasaran ACE Bursa Malaysia apabila dibuka pada harga 48 sen sesaham, iaitu 8 sen lebih rendah berbanding harga tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak 56 sen.

 

Pada pukul 9.04 pagi, saham MyDCD kekal pada 48 sen dengan sebanyak 31.16 juta saham bertukar tangan. Paras tertinggi yang direkodkan ialah 51 sen dan terendah 48 sen dalam dagangan awal.

 

Kejatuhan saham MyDCD berlaku ketika pasaran turut berdepan kebimbangan susulan pengumuman Amerika Syarikat mengenai sekatan eksport cip kecerdasan buatan (AI) ke pusat data di Malaysia dan beberapa negara Asia lain bagi menyekat akses China kepada semikonduktor berteknologi tinggi.

 

Saham syarikat penyedia perkhidmatan infrastruktur pusat data itu berdepan tekanan jualan pada hari pertama penyenaraian walaupun permintaan terhadap IPO sebelum ini jauh melebihi jumlah saham yang diperuntukkan kepada pelabur awam dengan kadar lebihan langganan sebanyak 36.46 kali.

 

IPO MyDCD raih RM268.8 juta

IPO MyDCD menyasarkan kutipan sebanyak RM268.8 juta menerusi penerbitan dan penawaran 480 juta saham.

 

Daripada jumlah itu, sebanyak 335 juta saham baharu diterbitkan yang dijangka menjana RM187.6 juta untuk syarikat, manakala baki 145 juta saham ditawarkan untuk jualan oleh pemegang saham sedia ada.

 

ARTIKEL BERKAITAN: IPO MyDCD terlebih langgan 36.46 kali, terima permohonan saham RM1.88 bilion

 

Bagi peruntukan pelabur awam Malaysia, IPO itu mencatat lebihan langganan sebanyak 36.46 kali selepas menerima permohonan bagi kira-kira 3.36 bilion saham bernilai RM1.88 bilion.

 

Sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif MyDCD, Chris Ow Yong berkata pengalaman syarikat dalam industri pusat data dan keperluan terhadap keupayaan teknikal, tenaga kerja berpengalaman serta modal kerja menjadi asas kepada penggunaan hasil IPO berkenaan.

 

Menurutnya, dana yang diperoleh akan membantu syarikat memenuhi keperluan pelaksanaan projek, termasuk penyediaan bon prestasi, selain memperkukuh pasukan dan menambah baik sistem bagi menyokong pertumbuhan perniagaan.

 
Hasil RM666 juta dan buku tempahan RM1.32 bilion

Bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026 (FY2026), MyDCD merekodkan hasil sebanyak RM666.03 juta dan keuntungan selepas cukai RM66.8 juta.

 

Bagi tempoh tiga tahun dari FY2023 hingga FY2026, hasil syarikat mencatat kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) sebanyak 52.8%, manakala keuntungan selepas cukai berkembang pada CAGR 58.48%.

 

Setakat 30 September 2026, kumpulan itu mempunyai buku tempahan belum dilaksanakan bernilai RM1.32 bilion, bersamaan kira-kira 1.98 kali hasil FY2026.

 

Daripada jumlah itu, kira-kira RM1.27 bilion terdiri daripada projek penyepaduan sistem MEPF pusat data, manakala RM53.08 juta lagi melibatkan perkhidmatan penyelenggaraan. Nilai buku tempahan tersebut dijangka diiktiraf sebagai hasil secara berperingkat sehingga tahun kewangan berakhir 30 Jun 2032.

 

Selain melaksanakan projek baharu, MyDCD turut menyediakan perkhidmatan penyelenggaraan dan membekalkan alat ganti bagi memenuhi keperluan operasi pusat data yang telah siap. Setakat 30 September 2026, kumpulan itu mempunyai 76 kontrak penyelenggaraan aktif dengan tempoh kontrak lazim antara satu hingga lima tahun. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved