
PETALING JAYA: Sektor perkhidmatan kewangan dan utiliti dijangka terus menjadi tunjang utama pasaran saham pada minggu ini, dengan FTSE KLCI Bursa Malaysia (FBM KLCI) berada pada sasaran untuk menguji paras 1,740 mata biarpun berdepan potensi aktiviti pengambilan untung.
Kedua-dua sektor utama itu kekal menjadi pilihan pelabur institusi berikutan pendedahan kukuh kepada permintaan domestik yang berdaya tahan, sekali gus menjadi perisai defensif di tengah-tengah ketidaktentuan pasaran luaran.
Pada penutupan dagangan Jumaat, FBM KLCI ditutup hampir tidak berubah pada paras 1,736.48 mata (susut tipis 0.23 mata atau 0.01 peratus) berikutan pelabur kekal berhati-hati menjelang Simposium Jackson Hole serta rundingan AS-Iran yang tergendala.
Namun, sektor utiliti dan pengguna menerajui kenaikan dalam kalangan komponen indeks.
Pengarah dan Penganalisis Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn. Bhd., Mohd. Sedek Jantan berkata, dari sudut pemilihan saham, lima sektor utama merangkumi perkhidmatan kewangan, utiliti, perladangan, telekomunikasi dan pembinaan terus mendominasi pasaran berdasarkan saiz modal yang besar.
“Minggu ini, gergasi perbankan seperti Malayan Banking Bhd. (Maybank), Public Bank Bhd. dan CIMB Group Holdings Bhd. kekal sebagai tunjang pasaran dengan nilai pasaran masing-masing mencecah RM127.97 bilion, RM99.38 bilion dan RM86.26 bilion.
“Sektor utiliti dan tenaga tempatan pula dipimpin oleh Tenaga Nasional Bhd. (RM84.52 bilion) dan YTL Power International Bhd. (RM45.02 bilion), manakala SD Guthrie Bhd. (RM45.78 bilion) menerajui perladangan, di samping kebangkitan semula sektor pembinaan menerusi Gamuda Bhd., Sunway Construction Group Bhd. dan IJM Corp Bhd,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mengulas mengenai pemangkin makro, Mohd. Sedek berkata, hala tuju hasil bon global kekal penting bagi penilaian saham perbankan Malaysia berikutan penilaian semula kos pembiayaan dan prospek marjin faedah bersih (NIM).
“Pemulihan berterusan bagi saham perbankan Malaysia memerlukan kestabilan yang lebih kukuh dalam hasil bon global. Peningkatan aktiviti pusingan balik (buyback) oleh Jabatan Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) berpotensi memperbaiki kecairan pasaran sekiranya ia berlanjutan,” katanya.
Beliau berkata, sentimen pasaran turut dipengaruhi kekangan baharu dalam sektor teknologi dan kecerdasan buatan (AI) akibat sekatan regulatori pusat data di AS, manakala harga minyak mentah Brent yang kekal di atas AS$90 (RM363.45) setong menekan saham pertumbuhan akibat kebimbangan inflasi.
Tambahnya, aliran dana asing kekal sebagai risiko utama selepas pelabur asing kekal menjadi penjual bersih ekuiti tempatan sejak 6 Ogos lalu, sekali gus menunjukkan kekuatan FBM KLCI baru-baru ini lebih dipacu oleh penyertaan domestik.
“Pasaran saham tempatan secara keseluruhannya dijangka kekal membina tetapi semakin selektif minggu ini, dengan paras 1,740 mata, hasil bon AS serta aliran dana asing menjadi penentu utama kemampanan rali,” tambahnya.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Ekonomi, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Abdul Rais Abdul Latiff berkata,sektor perbankan dan utiliti dijangka berdaya tahan, namun tekanan hasil bon AS dan harga minyak Brent melebihi AS$90 (RM363.49) setong untuk tempoh yang lama boleh meningkatkan kos pembiayaan serta tekanan inflasi.
Menurutnya, bagi sektor perbankan, asas modal yang kukuh dan pendapatan faedah yang stabil mampu menyokong prestasi, namun kadar faedah global yang tinggi dalam tempoh panjang berpotensi memperlahankan permintaan pinjaman serta meningkatkan risiko kualiti aset.
“Dalam keadaan ini, pelabur runcit disaran mengutamakan kaunter berkualiti yang mempunyai kunci kira-kira kukuh, aliran tunai konsisten, tahap hutang terkawal serta rekod pembayaran dividen yang baik.
“Pelabur juga wajar mempelbagaikan portfolio dan membuat pelaburan secara berperingkat berbanding mengejar kenaikan pasaran, khususnya ketika turun naik pasaran masih tinggi,” katanya.
Tambahnya, perubahan kekangan global terhadap perdagangan kecerdasan buatan (AI) pula berpotensi memberi kesan yang lebih meluas kepada FBM KLCI kerana isu tersebut kini bukan sekadar berkaitan akses kepada cip, sebaliknya turut melibatkan kos infrastruktur, bekalan tenaga dan kawal selia pusat data.
Katanya, peningkatan kos pembangunan pusat data di AS boleh mendorong sebahagian pelaburan AI global mencari lokasi alternatif yang mempunyai bekalan tenaga, tanah dan infrastruktur yang lebih kompetitif, sekali gus memberi peluang kepada Malaysia.
“Bagi separuh kedua 2026, sektor pembinaan, kejuruteraan, utiliti dan pembekal tenaga berpotensi menerima limpahan positif daripada perkembangan pusat data, manakala syarikat teknologi yang mempunyai pendedahan tinggi kepada sekatan eksport atau rantaian bekalan global mungkin berdepan risiko lebih besar,” katanya. – UTUSAN
The post Saham perbankan, utiliti terajui pasaran minggu ini appeared first on Utusan Malaysia.




