Hobi jahit bawa Cik Ning ke pasaran luar negara

21 Aug 2026 • 11:31 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Hobi jahit bawa Cik Ning ke pasaran luar negara

Bermula sekadar hobi untuk mengisi masa lapang selepas meninggalkan kerjaya dalam sektor perbankan, siapa sangka minat menjahit Noraini A. Ghani, 47, akhirnya berkembang menjadi perusahaan kraf yang kini mula menembusi pasaran luar negara.

Noraini atau lebih mesra disapa Cik Ning berkata, keputusan meninggalkan kerjaya pada 2015 dibuat bagi memberi tumpuan kepada keluarga, selain mahu mengisi masa lapang dengan aktiviti yang sememang diminatinya sejak dahulu.

Menurutnya, dia tidak pernah membayangkan aktiviti menjahit yang dilakukan dari rumah akan berkembang sehingga mempunyai pelanggan dan tempahan dari luar negara.

“Memang dari awal saya minat menjahit. Ketika masih bekerja pun saya sudah terfikir untuk buat benda ini, cuma pada masa itu ia sekadar hobi.

“Bila berhenti kerja, banyak masa terluang. Jadi, saya mula melayari laman sesawang dan media sosial untuk mencari idea serta belajar sendiri,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Banggol Donas, Kuala Terengganu baru-baru ini.

Ujarnya, antara hasil terawal dihasilkannya adalah tote bag atau beg jinjing yang pada mulanya diberikan kepada rakan dan keluarga untuk kegunaan mereka.

Kongsinya, idea menghasilkan beg berkenaan tercetus selepas melihat banyak tote bag di pasaran, namun tidak banyak yang menggunakan batik sebagai elemen utama ketika itu.

“Saya cuba buat sendiri. Pada awalnya memang sikit sahaja produk yang saya hasilkan kerana banyak benda saya tidak tahu termasuk hendak mendapatkan bahan dan keperluan jahitan.

“Dulu nak cari bahan pun agak susah, tidak seperti sekarang yang semuanya boleh dicari secara dalam talian,” katanya.

Image from: Hobi jahit bawa Cik Ning ke pasaran luar negara
CIK NING menunjukkan sebahagian produk jahitan yang berjaya dihasilkannya.

Katanya, kekangan mendapatkan bahan menyebabkan dia perlu mencari pembekal sesuai, malah ada bahan diperoleh daripada penjual tempatan yang mendapatkan bekalan dari luar negara.

Dalam keadaan serba terhad itu, Cik Ning tidak menjadikan kesukaran berkenaan sebagai alasan untuk berhenti, sebaliknya terus mencuba menghasilkan pelbagai rekaan baharu berdasarkan kemahiran yang dipelajarinya sendiri.

Usaha itu mula membuahkan hasil apabila tote bag yang dihasilkan mendapat perhatian rakan dan kenalan, sebelum tempahan mula diterima.

“Bila orang mula bertanya dan membuat tempahan, saya rasa mungkin ada pasaran untuk hasil jahitan ini.

“Dari situ, saya mula fikir untuk buat sesuatu yang berbeza dan tidak hanya menghasilkan beg biasa,” katanya.

Minat itu kemudian membawa Cik Ning mendekati penggiat batik tempatan ketika berpeluang melawat seorang artisan dan melihat sendiri proses menghasilkan kain batik.

Pengalaman itu mencetuskan idea untuk menggabungkan kemahiran jahitan dengan batik bagi menghasilkan produk yang lebih pelbagai.

Menurutnya, dia menghasilkan reka bentuk sendiri sebelum mendapatkan khidmat pembatik tempatan untuk menghasilkan kain berdasarkan corak dan warna dirancang.

Pendekatan itu membolehkan setiap rekaan disesuaikan mengikut produk tertentu dan tidak semestinya menggunakan corak batik yang sama seperti di pasaran.

Daripada satu produk, kini lebih 100 jenis produk pernah dihasilkan termasuk beg silang, beg galas, beg komputer riba, tali leher, beg duit, sarung telefon bimbit, kasut, alas meja dan jaket.

Untuk menyiapkan tempahan tertentu, Cik Ning kini dibantu kira-kira lima hingga enam pekerja sambilan yang menjalankan kerja jahitan dari rumah mengikut jumlah projek.

Katanya, selain tempahan pelanggan tempatan, produk hasil tangannya kini turut mula mendapat tempat di luar negara termasuk Singapura dan United Kingdom (UK).

“Alhamdulillah, sekarang produk kita sudah mula terbang ke Singapura dan UK. Ada pelanggan mendapat tahu melalui kenalan dan ada juga diperkenalkan oleh mereka yang pernah membeli produk kita.

“Bagi saya, itu sesuatu yang tidak pernah terlintas ketika mula menjahit dahulu,” katanya.

Menurutnya, perkembangan itu berlaku secara perlahan-lahan dan bukan sesuatu yang dirancang sejak awal, sebaliknya hasil daripada usaha memperkenalkan produk kepada lebih ramai pelanggan dari semasa ke semasa.

Selain mengusahakan perusahaan sendiri, pengalaman yang dimiliki turut membolehkannya berkongsi kemahiran dengan masyarakat apabila sering dijemput menjadi tenaga pengajar bagi kursus pendek di Kolej Komuniti Kuala Terengganu dan Kraftangan Negeri Terengganu.

Katanya, perkara yang lebih menggembirakan adalah apabila peserta yang dibimbing berjaya menggunakan kemahiran jahitan untuk menghasilkan produk dan menjana pendapatan sendiri.

“Bila kita boleh ajar orang lain dan mereka pula boleh gunakan kemahiran itu untuk cari pendapatan, itu satu kepuasan.

“Saya tidak pernah terfikir hobi ini boleh pergi sejauh ini. Pada awalnya, saya hanya mahu menjahit dan mengisi masa lapang tetapi akhirnya menjadi sesuatu yang saya teruskan sehingga sekarang,” katanya.

Bagi Cik Ning, perjalanan lebih sedekad itu mengajarnya bahawa sesuatu perusahaan tidak semestinya bermula dengan modal besar atau perancangan yang sempurna, sebaliknya memerlukan kesabaran untuk belajar dan keberanian mencuba.

“Pada awalnya, memang banyak yang kita tidak tahu. Kita belajar sedikit demi sedikit, buat silap, baiki semula dan cuba lagi. Kalau ada minat, kita mula sahaja secara kecil-kecilan.

“Dari situ, kita akan tahu ke mana hala tuju yang kita mahu,” katanya.

The post Hobi jahit bawa Cik Ning ke pasaran luar negara appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved