Saham Stratus Global melonjak hampir tiga kali ganda sejak IPO, prospek keuntungan kekal cerah - PublicInvest

Business & Finance
5 Aug 2026 • 12:36 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Saham Stratus Global melonjak hampir tiga kali ganda sejak IPO, prospek keuntungan kekal cerah - PublicInvest Image from: Saham Stratus Global melonjak hampir tiga kali ganda sejak IPO, prospek keuntungan kekal cerah - PublicInvest liza05/08/2026 - 12:36 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 5 Ogos – Saham Stratus Global Holdings Bhd terus menjadi antara tumpuan utama pelabur apabila harganya melonjak hampir 188% sejak disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada 21 Julai lalu, mencerminkan keyakinan tinggi pasaran terhadap prospek syarikat itu dalam industri automasi semikonduktor.

 

Pada dagangan 4 Ogos 2026, saham syarikat yang memfokuskan  perkhidmatan dalam automasi bilik bersih itu mencecah paras tertinggi baharu RM2.36 sebelum ditutup pada RM2.31 sesaham, meningkat 21 sen atau 10% yang memberikan nilai pasaran sekitar RM2.89 bilion.

 

Prestasi itu menjadikan Stratus Global antara syarikat yang mencatat kenaikan harga saham paling kukuh selepas melaksanakan tawaran awam permulaan (IPO), apabila nilainya meningkat hampir tiga kali ganda berbanding harga IPO sebanyak 80 sen sesaham.

 

Bagaimanapun, di sebalik kenaikan luar biasa itu, Public Investment Bank Bhd berpandangan potensi pertumbuhan syarikat masih belum berakhir, terutama jika Stratus Global berjaya memperoleh lebih banyak tempahan baharu dalam tempoh terdekat.

 

Menurut firma penyelidikan itu, mereka tidak menolak kemungkinan syarikat membuat kejutan dengan memperolehi keuntungan sebenar yang melebihi unjuran semasa, sekiranya momentum penerimaan kontrak terus meningkat.

 

Tempahan Baharu Jadi Pemacu Pertumbuhan

PublicInvest mengunjurkan Stratus Global mencatat keuntungan bersih sebanyak RM58.5 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2027 (FY2027), sebelum meningkat kepada RM71.3 juta pada FY2028, bersamaan pendapatan sesaham masing-masing 4.7 sen dan 5.7 sen.

 

Namun, pada harga sekitar RM2.27 sesaham, PublicInvest berkata saham itu kini diniagakan pada kira-kira 48 kali nisbah harga kepada pendapatan (price-to-earnings ratio), menunjukkan pelabur meletakkan jangkaan tinggi terhadap pertumbuhan keuntungan syarikat pada masa depan.

 

Menariknya, walaupun harga pasaran kini sudah melepasi harga sasaran RM1.72 yang ditetapkan PublicInvest sebanyak kira-kira 32%, firma penyelidikan itu masih mengekalkan penilaian tersebut dan optimis terhadap prospek jangka panjang Stratus Global.

 

Keyakinan itu disokong oleh panduan pengurusan syarikat yang menjangkakan buku tempahan mampu berkembang antara dua hingga empat kali ganda dalam tempoh setahun akan datang.

 

Sekiranya sasaran itu berjaya dicapai, peningkatan tempahan dijangka diterjemahkan kepada pertumbuhan hasil dan keuntungan yang lebih kukuh berbanding unjuran semasa.

 

Disokong Permintaan Industri Semikonduktor

PublicInvest turut berpandangan prospek Stratus Global didorong oleh perkembangan positif industri semikonduktor global yang terus berkembang sejajar peningkatan pelaburan dalam pembinaan kilang fabrikasi wafer serta perbelanjaan peralatan pengeluaran cip.

 

Perkembangan itu dijangka meningkatkan permintaan terhadap sistem pengendalian bahan automatik (AMHS), iaitu segmen khusus yang menjadi kepakaran Stratus Global.

 

Pada masa sama, firma penyelidikan itu berpandangan syarikat masih mempunyai ruang pertumbuhan yang besar memandangkan sebahagian besar hasilnya ketika ini masih bergantung kepada beberapa pelanggan utama.

 

Menurut PublicInvest, kejayaan mendapatkan pelanggan baharu berpotensi memperkukuhkan lagi buku tempahan syarikat, sekali gus menyokong pertumbuhan pendapatan pada tahun-tahun akan datang.

 

Sementara itu, Malacca Securities turut melihat sentimen positif terhadap Stratus Global semakin kukuh selepas beberapa syarikat teknologi utama Amerika Syarikat seperti Amazon dan Microsoft melaporkan keputusan kewangan yang memberangsangkan serta meningkatkan unjuran perniagaan masing-masing.

 

Ini mengukuhkan jangkaan  perbelanjaan terhadap infrastruktur pengkomputeran awan dan kecerdasan buatan akan terus berkembang.

 

Prospek Kekal Cerah Walaupun Penilaian Tinggi

Menurut Malacca Securities, perkembangan itu dijangka terus memberi manfaat kepada syarikat berkaitan semikonduktor seperti Stratus Global, malah berdasarkan penilaian setanding dengan Indeks Teknologi Bursa Malaysia, harga saham syarikat itu berpotensi menghampiri RM2.60 sesaham.

 

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2026, Stratus Global merekodkan keuntungan bersih RM51 juta berbanding RM66 juta pada tahun sebelumnya, manakala hasil susut kepada RM197 juta daripada RM220.28 juta.

 

Bagi suku pertama berakhir 30 Jun lalu pula, syarikat mencatat keuntungan bersih RM9.54 juta atau 0.76 sen sesaham dengan hasil sebanyak RM34.8 juta.

 

Ketika penyenaraian, Stratus Global berjaya mengumpulkan dana RM285 juta menerusi IPO yang terlebih langganan sebanyak 129 kali dalam kalangan pelabur runcit, tanpa melibatkan penjualan saham oleh pemegang saham sedia ada.

 

Dana yang diperoleh itu akan digunakan bagi meningkatkan kapasiti pengeluaran, memperkukuh penyelidikan dan pembangunan (R&D), memperluaskan operasi ke luar negara serta menyediakan modal kerja bagi menyokong pertumbuhan perniagaan syarikat. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved