Untung bersih Nestlé Malaysia melonjak 38.3% kepada RM155 juta pada suku kedua 2026

LocalBusiness & Finance
28 Jul 2026 • 2:49 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Untung bersih Nestlé Malaysia melonjak 38.3% kepada RM155 juta pada suku kedua 2026 Image from: Untung bersih Nestlé Malaysia melonjak 38.3% kepada RM155 juta pada suku kedua 2026 liza28/07/2026 - 14:49 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 28 Julai – Keuntungan bersih Nestlé (Malaysia) Bhd meningkat 38.3 peratus pada suku kedua berakhir 30 Jun 2026 (2QFY2026) disokong pertumbuhan jualan yang menyeluruh, pengurusan kos yang berkesan serta peningkatan kecekapan di sepanjang rantaian nilainya.

 

Keuntungan bersih syarikat pengeluar makanan dan minuman itu meningkat kepada RM155 juta berbanding RM112.1 juta dalam tempoh sama tahun lalu, manakala keuntungan sesaham bertambah kepada 66.1 sen daripada 47.81 sen.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, ia berkata, hasil Kumpulan juga meningkat 8.7 peratus kepada RM1.81 bilion berbanding RM1.69 bilion sebelumnya, disokong pertumbuhan jualan dalam pasaran domestik dan eksport.

 

“Prestasi lebih baik itu mencerminkan keberkesanan strategi operasi Kumpulan dalam mengimbangi pertumbuhan hasil dengan langkah kawalan kos serta penambahbaikan kecekapan di seluruh rantaian nilai,” katanya.

 

Dividen Lebih Tinggi Kepada Pemegang Saham

Sejajar dengan prestasi yang memberangsangkan itu, syarikat mengumumkan dividen interim sebanyak 80 sen sesaham melibatkan pembayaran keseluruhan RM187.6 juta, meningkat berbanding dividen interim 70 sen sesaham yang diumumkan bagi tempoh sama tahun lalu.

 

Dividen berkenaan akan dibayar kepada pemegang saham pada 1 Oktober 2026.

 

Bagi tempoh enam bulan pertama tahun kewangan 2026, keuntungan bersih Nestlé Malaysia meningkat 31.7 peratus kepada RM360.1 juta berbanding RM273.5 juta yang direkodkan dalam tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Dalam tempoh sama, hasil kumpulan berkembang 7.4 peratus kepada RM3.69 bilion daripada RM3.44 bilion yang mencerminkan momentum pertumbuhan jualan berterusan sepanjang separuh pertama tahun ini.


Optimis Terus Kekalkan Momentum

Mengulas prospek bagi baki tahun kewangan 2026, Nestlé Malaysia berkata pihaknya kekal yakin dapat mencatat prestasi kewangan yang kukuh meskipun berdepan ketidaktentuan ekonomi global serta perubahan cita rasa dan corak perbelanjaan pengguna.

 

Menurut syarikat itu, usaha memperkukuh prestasi akan diteruskan menerusi pelaburan dalam pendigitalan, automasi dan pelbagai inisiatif lain bagi meningkatkan kecekapan operasi serta daya saing jangka panjang.- DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved