Hari ini kami terbitkan laporan MIT NENDA yang mengatakan integrasi kecerdasan buatan (AI) untuk meningkatkan pendapatan gagal di 95% syarikat dan Meta ingin mengurangkan pekerja bahagian AI mereka. Sebelum itu, Sam Altman dipetik berkata pasaran AI pada waktu ini berada di fasa gelembung.
Apabila pasaran saham Amerika Syarikat dibuka hari ini, kesemua saham syarikat teknologi utama dunia khususnya yang terlibat dengan industri AI menyusut. NVIDIA mencacatkan penyusutan nilai 3.5% dengan AMD susut 5.44% . Apple, Alphabet, Meta, Microsoft, Tesla, Broadcom, dan Oracle kesemuanya turut susut pada peratusan lebih rendah.

Disebabkan ramalan gelembung AI mungkin meletup bila-bila masa, pelabur mula menjual saham syarikat sebelum terlambat. Isu penggunaan AI sangat hangat didebatkan di media sosial dan juga oleh kerajaan. Pada peringkat awal AI menjanjikan potensi dunia lebih mudah dengan kerja remeh boleh dilupakan manusia.
Dalam tempoh dua tahun sahaja teknologi AI mula mempunyai stigma buruk meningkatkan pencemaran, menggunakan bekalan air melampau dan di Malaysia sahaja pusat data baharu mengeluarkan jumlah karbon yang sama dengan 2 juta kenderaan.
Prognosis masa depan AI juga tergugat kerana model-model baharu yang dilancarkan tidak menawarkan peningkatan kemampuan seperti diharapkan. Malahan dalam kes OpenAI, GPT 5o yang direka untuk lebih menjimatkan kuasa dibenci pengguna GPT 4o kerana ia terlalu skema memaksa model lama ditawarkan semula walaupun merugikan syarikat.




