Sahih! Eizlan Yusof Sudah Sertai PAS Bersama Annuar Musa 

Politics
11 Jun 2023 • 4:16 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Eizlan (kir) bergambar bersama Annuar selepas pelakon berkenaan mengesahkan menyertai PAS. - Gambar Alfiearth Studio

“Ya, saya sudah sertai PAS”, itu reaksi pelakon dan pengarah, Datuk Seri Eizlan Yusof, 51, susulan pengumuman yang dibuat oleh Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Takiyuddin membuat pengumuman mengenai penyertaan Eizlan itu pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya sempena Gelombang Kebangkitan Rakyat Negeri Sembilan di Dataran D’Cattleya, Senawang, malam tadi.

image is not available
Eizlan bergambar bersama Takiyuddin, malam tadi.

“Saya sertai PAS kerana saya percaya perjuangan yang dibawa PAS bukan sekadar retorik dan parti ini bukan seperti yang digembar-gemburkan pihak lawan.

“Malah selama saya bersama-sama Tan Sri (Annuar Musa) di dalam Muafakat Nasional (MN), saya melihat kesungguhan beliau mahu menyatu padukan rakyat dan perjuangkan Islam serta Melayu tanpa mengenepikan perbezaan agama dan kaum,” katanya.

Selaku Ketua Penerangan MN Negeri Selangor, Eizlan akui, pengalaman politik lebih 50 tahun Pengerusi MN itu memberi aspirasi dan inspirasi kepada beliau untuk bersama-samanya.

image is not available
Annuar Musa - Gambar dari Facebook

Dalam pada itu, Tan Sri Annuar Musa, berkata kemasukan selebriti seperti Eizlan dilihat sebagai satu kesedaran dari pelbagai lapisan masyarakat.

“Kalau dulu orang melihat yang menyertai PAS adalah golongan agamawan tetapi sekarang ini datang dari pelbagai latar belakang dan juga dokongan dari bukan beragama Islam sendiri.

“Kita akan ada beberapa sesi berasingan pengumuman menyertai PAS bersama Eizlan. Malam tadi adalah permulaan kepada gelombang kebangkitan rakyat,” katanya.

image is not available
Dayangku Intan (kiri) turut menyertai PAS dan menyerahkan borang kepada Muhyiddin yang juga pengerusi PN, malam tadi. - Gambar dari Facebook Muhyiddin Yassin

Selain Eizlan dan Annuar, PAS turut menerima keahlian baru lebih 3,000 orang dari seluruh negara, termasuk Datuk Fyzal Fauzy, mantan Setiausaha Sulit kepada mantan Menteri Luar, PU Raihan dan Dayangku Intan, semalam.

Turut hadir pada acara dihadiri lebih 10,000 penyokong Perikatan Nasional (PN) ialah Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Takiyuddin Hassan. – Getaran, 11 Jun 2023