Saidatul bersinar di kejohanan badminton Majlis Sukan Sekolah Malaysia

21 Sep 2025 • 10:13 AM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kota Kinabalu: Saidatul Saadiah Muhammad pelajar Sabah yang menuntut di Sekolah Sukan Bukit Jalil, muncul wira pasukan Sabah selepas meraih satu pingat emas.

Saidatul Saadiah menewaskan rakan senegeri Jola Lim Zi Yu 21-19,21-17 pada perlawanan akhir perseorangan perempuan bawah 18 Tahun.

Saidatul Saadiah, 17, menunjukkan peningkatan yang sangat ketara selepas memasuki Sekolah Sukan Bukit Jalil dan kini menjadi harapan mewarnai sukan badminton negara pada masa depan.

Kontinjen badminton Majlis Sukan Sukan Sabah (MSS) mencatat pencapaian membanggakan apabila turut mendapat empat perak dan dua gangsa pada temasya sukan itu di Ipoh, Perak pada 13 sehingga 17 September.

Turut menyerlah pada kejohanan itu ialah Muhammad Nur Azhar Zunaide yang meraih pingat perak acara perseorangan lelaki B-18.

Sementara gandingan Muhammad Nur Azhar Zunaide dan Hymns Isaiah Shim (beregu lelaki B-18) dan pasangan Lin Yao Rong -Lim Ke Xuan (beregu campuran) turut memberi mata kepada negeri.

Chua Jing Xuan pula menyumbang pingat gangsa dalam acara perseorangan perempuan B-15 manakala Hymns Isaiah Shim berpasangan dengan Saidatul Saadiah melengkapkan pencapaian cemerlang Sabah dengan merangkul gangsa acara bergu campuran.

Prestasi baik itu menyaksikan Sabah menduduki tangga keempat secara keseluruhan pada kejohanan MSSM itu.

Pengurus pasukan Sabah Joe Gary JR Martin berpuashati dengan pencapaian pasukannya.

“Kita berharap ini (pencapaian) akan menyuntik semangat para pemain untuk berlatih dengan lebih gigih, sekali gus dapat merangkul kejuaraan keseluruhan pada masa depan,” katanya.

Bagi menghargai kejayaan tersebut, Datu Asrah Datok Ambas, Ketua Penolong Pengarah Bakat, Sektor Pembangunan Murid, Jabatan Pendidikan Negeri Sabah menyampaikan insentif kepada pemenang di Arena Badminton Ipoh.

Datu Asrah turut menzahirkan penghargaan kepada kontinjen badminton, termasuk pengurus pasukan, pemain dan jurulatih yang berjaya membantu menaikkan imej Sabah dalam arena badminton.