
Pelumba wanita Malaysia, Saidatul Zakirah, bakal mencipta satu lagi detik penting dalam karier perlumbaannya apabila disahkan menyertai Campionato Italiano Velocità Femminile (CIV.F) di Litar Mugello, Itali sebagai pelumba wildcard hujung minggu ini.
Pengumuman itu dibuat sendiri oleh Saidatul Zakirah menerusi media sosialnya yang meluahkan rasa teruja untuk kembali bersaing di pentas antarabangsa sambil membawa cabaran Malaysia dalam salah satu kejuaraan perlumbaan motosikal wanita paling kompetitif di Eropah.
Lebih menarik, penyertaan beliau kali ini adalah bersama Sommariva Corse, pasukan yang turut terlibat dalam program perlumbaan FIM Women’s European Championship (WEC). Kerjasama tersebut memberi peluang kepada pelumba negara itu untuk menimba pengalaman berharga dalam persekitaran perlumbaan profesional di Eropah.
Dalam perkongsiannya, Saidatul Zakirah turut memohon doa dan sokongan daripada peminat serta rakyat Malaysia agar diberikan kejayaan dan keselamatan sepanjang perlumbaan berlangsung.
