Saiful Apek Risau Generasi Muda Yang Terlalu Obses Dengan Populariti 

Movie
20 Dec 2022 • 8:00 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Saiful Apek - Gambar ihsan Veedu Production/MGE Production

Pelakon dan pelawak Saiful Apek mengakui ada versatiliti dalam watak yang dibawa dalam setiap tawaran yang diberi walaupun, semua filem itu bergenre komedi seram. 

Kata Apek atau pemilik nama sebenar Muhammad Saiful Azam Mohamed Yusoff, 53, dia akan sentiasa berbincang dengan pengarah filem untuk membawa kelainan dalam setiap watak yang ditawarkan.

image is not available
Antara babak menarik dalam filem Hantu Tenggek. - Gambar ihsan Veedu Production/MGE Production

“Setiap kali, sebelum saya terima apa-apa tawaran, saya akan berbincang dengan pengarah mengenai watak yang ditawarkan, jadi kalau saya rasa ia satu karakter yang repeating, saya akan cuba untuk membawa kelainan dalam watak tersebut.

“Kita sedar setiap kali kita menerima satu tawaran dalam sebuah filem, disebabkan  keunikan dan kemampuan kita, jadi kita cuba sedaya-upaya untuk memberi lakonan versatile yang diinginkan oleh mereka.

“Lagipun, penonton di luar sana sentiasa mendahagakan kelainan dari seorang pelakon, kalau asyik bagi saya sama sahaja nanti kena kecam pula,” katanya kepada Getaran.

Saiful Apek membuat kenyataan itu pada sidang media Hantu Tenggek iaitu filem baharu lakonannya yang diarahkan Prof A Razak Mohaideen terbitan Veedu Production dengan kerjasama MGE Production.

Apek juga turut berkongsi kebimbangannya membabitkan segelintir generasi muda yang terlalu obses dengan populariti. 

Jelas Apek lagi, generasi baharu harus menjadi bijak dalam membuat apa-apa pengisian kandungan dan jangan terlalu mengejar populariti semata-mata.

image is not available
Gambar ihsan Veedu Production/MGE Production

“Fasiliti moden kini menjadikan individu sekarang terlalu ‘manja’ mereka seakan-akan terlepas pandang tentang akar umbi perjuangan seni itu sendiri.

“Tapi dalam masa sama kita perlu bergerak seiring dengan kemajuan dan saya sedikit pun tidak ada rasa iri hati.

“Viral hari ini, esok dah ada viral baru, ia boleh membantu dan dalam masa sama boleh membunuh dengan isu-isu viral tanpa henti,” ujarnya.

Tambah Apek lagi, kemajuan yang ada sekarang ini sangat mudah membuatkan seseorang itu popular tetapi mereka perlu berwaspada kerana ia mungkin boleh memakan diri sendiri.

Dalam perkembangan lain, filem Hantu Tenggek yang turut dibintangi Apekbersama Syarif, Syaiful, Danial Zaini, Siti Khadijah Halim dan ramai lagi akan mula ditayangkan pada 22 Disember 2022 di pawagam seluruh Malaysia. – Getaran, 20 Disember 2022