
Teknologi sains saraf dan otak kini boleh dikatakan sedang dibangunkan dengan sangat pesat sekali, dengan nama seperti Neuralink dilihat membangunkan teknologi yang membolehkan individu dengan kecederaan saraf dan otak untuk sekurang-kurangnya mendapatkan kembali sejumlah kemampuan fizikal mereka melalui pembedahan dan penggunaan implan otak.
Terkini, ia telah dilaporkan bahawa saintis-saintis dari China sedang membangunkan teknologi implan otak yang boleh dimasukkan kedalam otak manusia dalam masa 10 minit sahaja. Implan-implan ini, yang dinamakan Brain Computer Interface (BCI) akan membolehkan pengguna untuk mengawal perkakasan-perkakasan digital tertentu menggunakan minda mereka sahaja, melalui implan BCI ini.

Secara lazimnya, memasang BCI ini di dalam otak seseorang memerlukan individu tersebut untuk melalui pembedahan otak untuk memasukkan BCI ini di lokasi-lokasi tertentu di organ otak, tetapi dengan teknologi baharu yang mahu dibangunkan oleh saintis-saintis China ini, implan BCI ini kelak boleh dimasukkan ke dalam otak melalui penggunaan tiub kecil sten sahaja, melalui saluran darah dari bahagian leher untuk terus ke otak.
Penyelidikan ini diterangkan oleh Zhao Zhengtuo, CEO StairMed Technology, syarikat pemula disebalik penyelidikan dan pembangunan teknologi ini sewaktu acara Global Health Summit yang berlangsung di Hong Kong baru-baru ini.
Pembangunan teknologi ini juga telah dibiayai oleh sejumlah syarikat-syarikat teknologi besar seperti Tencent Holdings dan Alibaba Group. Pembangunan teknologi ini telah diperkenalkan sejak bulan Disember tahun lepas dalam satu kerjasama dengan sebuah pasukan penyelidikan dari Chinese Academy of Sciences.
Program ini juga dilaporkan sudahpun memasuki fasa ujian ke atas binatang seperti kambing biri-biri, tetapi belum memasuki fasa ujian ke atas manusia. Dari segi kelajuan pemasangan implan ini, Zhao Zhengtuo mengatakan bahawa seorang pakar bedah dengan pengalaman pembedahan 4-6 tahun boleh memasukkan implan ini ke dalam otak dalam masa 10 minit sahaja.
Dengan Neuralink, pembedahan otak perlu dilakukan kerana implan BCI mereka perlu dipasang didalam bahagian korteks serebrum. Untuk teknologi yang sedang dibangunkan oleh Stairmed Technologies, memasukkan implan BCI mereka melalui saluran darah dilihat bukan sahaja lebih cepat, tetapi mengurangkan risiko kepada individu yang memerlukan implan sebegini.
Sumber: South China Morning Post




