Saiz dana kasar KWAP cecah RM184.5 bilion setakat Julai 2023

Business & Finance
5 Sep 2023 • 6:19 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Saiz dana kasar KWAP cecah RM184.5 bilion setakat Julai 2023

diyana

05/09/2023 - 18:19

KUALA LUMPUR 5 Sept - Saiz dana kasar Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) mencecah RM184.5 bilion sejak ditubuhkan pada 2007 sehingga Julai 2023, menurut Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Jelas beliau, portfolio pelaburan dana pencen nasional itu membabitkan ekuiti awam (40%), pendapatan tetap (40%), pelaburan hartanah (10%) dan ekuiti swasta (10%).

"Nisbah pelaburan KWAP setakat ini adalah 80% dalam negara, manakala 20% di luar negara," katanya kepada media di Forum Pencarum KWAP 2023.

Ahmad berkata syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) memainkan peranan penting dalam memastikan prestasi positif ekonomi Malaysia.

Beliau berkata syarikat GLIC dan GLC ini telah berjaya mewujudkan peluang pekerjaan dalam merangsang ekonomi tempatan dan menarik pelabur antarabangsa.

“Kerajaan berharap KWAP sebagai GLIC dapat melaksanakan penambahbaikan bagi meningkatkan saiz dana dan pelaburan, seterusnya dapat menyumbang pembayaran dividen yang lebih baik kepada kerajaan.

"KWAP juga perlu merapatkan hubungan bersama pesara sebagaimana 'tagline' Teman Pesara Anda. KWAP juga perlu melancarkan lagi hubungan dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) bagi perkongsian pangkalan data yang lebih baik," katanya.

Sejak KWAP ditubuhkan pada 2007 hingga Julai 2023, dana caruman terkumpul KWAP adalah sekitar RM57.4 bilion daripada jumlah saiz dana kasar kira-kira RM184.5 bilion.

Dana caruman itu terdiri daripada RM15.3 bilion caruman kerajaan persekutuan, RM25.8 bilion syer kerajaan dan RM16.3 bilion caruman majikan yang terdiri daripada badan berkanun, pihak berkuasa tempatan dan pegawai Kerajaan yang dipinjamkan.

Setakat ini, terdapat 482 agensi yang mencarum di Malaysia, yang mana 192 majikan terdiri daripada badan berkanun, 151 pihak berkuasa tempatan dan 139 pegawai kerajaan yang dipinjamkan, menyumbang untuk kira-kira 177,000 tenaga kerja di seluruh negara di bawah skim persaraan sektor awam.

KWAP telah menyasarkan untuk meningkatkan saiz dana kasar kepada RM200 bilion menjelang 2025 dengan penempatan asetnya membentuk 80% dalam pasaran awam dan 20% dalam pasaran persendirian menjelang 2025.

KWAP juga menetapkan sasaran mencapai pulangan tahunan sebanyak 7% menjelang 2025 berbanding 6% ketika ini. - DagangNews.com