Pulau Pinang kekal pengeksport utama, catat kenaikan 5.6% kepada RM39.6 bilion pada Julai 2023 – DOSM
diyana
28/08/2023 - 14:51
KUALA LUMPUR 28 Ogos - Pulau Pinang kekal sebagai pengeksport utama dengan mencatat kenaikan 5.6% atau RM2.1 bilion kepada RM39.6 bilion dalam Julai 2023, menyumbang 33.9% kepada jumlah eksport negara.
Susulan negeri tersebut, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) berkata nilai eksport tertinggi diikuti oleh Johor (19.6% atau RM22.9 bilion), Selangor (17.8% atau RM20.7 bilion), Sarawak (7% atau RM8.2 bilion) dan Kedah (4.4% atau RM5.1 bilion).
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata prestasi eksport Malaysia pada Julai 2023 bernilai RM116.8 bilion, menurun 13.1% atau RM17.6 billion berbanding bulan sama pada tahun sebelumnya.
“Nilai eksport meningkat di Pulau Pinang sebanyak RM2.1 bilion, Kedah (RM1.2 bilion), Labuan (RM462.3 juta), Kelantan (RM167.4 juta), Perlis (RM6.4 juta) dan Pahang (RM6.2 juta),” katanya.
Menurut beliau, prestasi eksport menurun dalam Julai akibat eksport yang lebih rendah di kebanyakan negeri iaitu Johor (RM8.2 bilion), Sarawak (RM3.4 bilion), Selangor (RM3.4 bilion), Kuala Lumpur (RM3.3 bilion), Terengganu (RM1.1 bilion), Sabah (RM860.5 juta), Melaka (RM446.1 juta), Negeri Sembilan (RM238.6 juta) dan Perak (RM27.4 juta).
Beralih kepada prestasi import mengikut negeri, Mohd Uzir berkata import pada Julai 2023 juga menurun 15.9% atau RM18.8 bilion berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.
“Selangor terus mendominasi import Malaysia dengan 27.8%, diikuti oleh Johor (22.9%), Pulau Pinang (19.6%), Kuala Lumpur (7.2%) dan Sarawak (5%),” katanya.
Mohd Uzir menjelaskan bahawa penurunan import adalah disebabkan oleh import yang lebih rendah di Pulau Pinang (RM5.8 bilion), Johor (RM4.9 bilion), Kuala Lumpur (RM2.5 bilion), Selangor (RM2 bilion), Kedah (RM1.2 bilion), Sarawak (RM811.8 juta), Perak (RM644.6 juta), Pahang (RM427.5 juta), Negeri Sembilan (RM405.6 bilion), Terengganu (RM68.6 juta) dan Sabah (RM49.3 juta).
Bagaimanapun, katanya, nilai import meningkat di Melaka sebanyak RM226.2 juta, Labuan (RM136.7 juta), Kelantan (RM20.2 juta) dan Perlis (RM1.7 juta).
Secara keseluruhan, jumlah dagangan Malaysia bernilai RM216.4 bilion bagi Julai 2023 dengan nilai eksport RM116.8 bilion dan import bernilai RM99.7 bilion. - DagangNews.com



