Sakan Berparti Liar, Datuk Seri Antara 25 Orang Ditahan Di Janda Baik

12 Aug 2022 • 10:13 AM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available
Datuk Seri dan 24 orang ditahan

Padah berhibur dalam satu parti liar, 25 orang termasuk seorang individu yang bergelar Datuk Seri telah ditahan polis di sebuah rumah banglo di Janda Baik, Bukit Tinggi, Bentong, Pahang, semalam (11 Ogos).

Pada jam 1 pagi, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong telah dihantar untuk melakukan serbuan berikutan dengan maklumat yang diberikan daripada orang awam.

Guna dadah untuk berhibur

Memetik laporan Berita Harian, Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar memaklumkan, menerusi pemeriksaan yang dijalankan mendapati individu yang berparti liar tersebut juga menggunakan dadah untuk tujuan berhibur.

“Kita menemui dan merampas dadah jenis ketamin seberat 2.18 gram serta 1.43 gram pil ekstasi dianggarkan bernilai RM800.

“Semua suspek yang ditahan terdiri daripada 15 lelaki dan 10 wanita dengan lapan daripadanya adalah warga asing, berusia antara 18 hingga 64 tahun.

“Salah seorang daripadanya adalah seorang lelaki bergelar Datuk Seri yang berusia 46 tahun dan buat masa ini, kita sedang mengenal pasti siapa penganjur parti berkenaan,” jelas beliau.

image is not available
Foto: FB Polis Bentong

Sewa banglo RM15,000 untuk buat parti liar, kesemua yang ditahan positif dadah

Menurutnya, hasil siasatan mendapati banglo tersebut telah disewa khas dengan nilai RM15,000 untuk parti liar itu dianjurkan.

“Hasil ujian saringan awal air kencing, keputusan menunjukkan semua suspek positif dadah jenis methamphetamine.

“Semua suspek kini direman empat hari bermula hari ini hingga 14 Ogos ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta sama,” ulasnya lagi.

Beri amaran tidak akan berkompromi dalam tangani isu dadah

Beliau dalam masa sama, turut memberi amaran bahawa pihaknya tidak akan berkompromi dalam menangani isu dadah dan akan mengambil tindakan tegas serta mengucapkan terima kasih kepada penduduk di daerah itu kerana telah menyalurkan maklumat.

“Saya menggesa orang awam agar terus menyalurkan maklumat kepada pihak polis khususnya berkaitan aktiviti dadah, jenayah dan lain-lain,” katanya lagi.