
Kota Kinabalu: Saksi kanak-kanak keenam mengesahkan bahawa dia tahu mengapa Zara Qairina Mahathir ditemui di kawasan asrama SMKA Tun Mustapha pada pagi 16 Julai, dipercayai kerana dituduh mencuri.
Peguam Shahlan Jufri yang ditemui selepas prosiding Isnin petang berkata, deponen tersebut memberitahu mahkamah bahawa pada kira-kira jam 11 malam, Zara meninggalkan bilik asrama dalam keadaan menangis. Itulah kali terakhir dia melihat Zara pada malam kejadian.
Menurut Shahlan, saksi berkenaan juga memberi keterangan bahawa dia tahu siapa yang menengking Zara pada malam tersebut, namun enggan terlibat dalam kejadian itu.
“Deponen menyatakan bahawa pada jam 10.20 malam (15 Julai), Zara masuk ke bilik asramanya untuk berjumpa seorang pelajar senior. Tidak lama kemudian, empat senior, termasuk dua yang dikenalinya, turut masuk ke bilik itu untuk bertemu Zara.
“Zara dipanggil berhubung dua kes kehilangan dompet. Deponen terdengar perbualan mengenai kecurian, tetapi tidak jelas. Dia juga terdengar suara kuat seolah-olah menengking Zara, tetapi tidak dapat mengesahkan siapa yang menengking pada waktu itu.
“Saksi turut memberitahu Koroner bahawa dia tidak pernah melihat Zara bergaul atau masuk ke bilik itu sebelum ini,” kata Shahlan.
Dia menambah, deponen tersebut juga memaklumkan bahawa pelajar yang suka mengeluarkan kata-kata kesat biasanya hanya melakukannya sesama rakan.
Saksi turut menjelaskan bahawa dia pernah menghantar sepucuk surat peribadi Zara ke bilik asrama Zara, yang kemudian diterima oleh seorang pelajar lain yang juga rakan sebilik Zara. Koroner Amir Shah Amir Hassan bertanya beberapa soalan lanjut mengenai penyerahan surat itu.
Selain itu, saksi tersebut mengenal pasti seorang guru yang merampas telefon bimbit seorang pelajar pada pagi kejadian, memandangkan penggunaan telefon tidak dibenarkan di asrama.
Sementara itu, saksi kanak-kanak kelima (Deponen 13) pula menyatakan bahawa amalan pelajar senior menegur atau memarahi dengan nada keras adalah budaya biasa dalam kalangan penghuni asrama.
“Menurut deponen itu, pelajar junior dianggap perlu melalui pengalaman sedemikian kerana senior mereka dahulu juga mengalaminya.
“Deponen itu rapat dengan kumpulan Circle 19, yang terdiri daripada 19 pelajar yang sering menjalankan aktiviti bersama. Kata-kata kesat seperti ‘bodoh’ dan ‘sial yang digunakan oleh seorang ahli kumpulan itu terhadap Zara, menurut deponen, adalah bahasa yang biasa digunakan sesama rakan,” jelas Shahlan.
Dalam prosiding sama, pasukan peguam turut mengemukakan pelan lakar 3D dan 2D kepada semua pihak.
“Pelan ini tidak berskala sebenar dan disediakan berdasarkan bukti foto serta maklumat yang ada bagi memberikan gambaran visual susun atur bilik-bilik di tingkat tiga Blok Asrama Rabiatul Adawiyah.
“Ia bertujuan membantu deponen kanak-kanak sebagai rujukan dan memudahkan Koroner mengenal pasti lokasi pelajar pada waktu kejadian,” katanya.
Shahlan dibantu oleh peguam Rizwandean M. Borhan, Mohd Sharulnizam Mohd Salleh, Luqman Syazwan Zabidi dan Farrah Nasser.


