Sakti kembali ke pentas bersama Opick 11 November ini

Music
8 Nov 2023 • 12:25 PM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Selepas 17 tahun meninggalkan industri muzik, bekas pemain gitar Shiela On 7, Sakti yang kini dikenali Salman Al Jugjawyy kembali ke pentas bersama rakan artis Opick dalam Konsert Tombo Ati Ridho Ilahi di Zepp KL pada 11 November ini.

Sakti kembali ke pentas bersama Opick

image is not available

Buat julung kalinya, Icon Entertainment akan membawakan Sakti atau nama sebenarnya, Saktia Ari Seno dalam persembahan kolaborasi eksklusif di Malaysia bersama Opick.

Sakti berkata, walaupun takut untuk kembali beraksi, namun dia percaya penampilan bersama Opick pasti akan membuahkan hasil dalam perjalanan dakwah mereka.

“Sebagai mantan pemain gitar secara komersial, lamaran ikut terlibat dalam Konsert Tombo Ati Ridho Ilahi – Opick & Sakti Live in Kuala Lumpur ini jujurnya agak menakutkan bagi saya yang sudah belasan tahun tidak bermain di pentas.

image is not available

“Namun pada akhirnya setelah difikirkan saya hanya mahu sama-sama menyebarkan dakwah dengan cara paling ‘tidak menakutkan’. Saya mahu berbagi manfaat, sama seperti Opick.
“Bersama Opick yang punya segudang karya berunsur kerohanian, mengajak kita pulang kepada Ilahi dan mencari redhonya, saya percaya apa yang cuba disampaikan oleh pihak Al Kauthar Eduqids dan Icon Entertainment dalam konsep persembahan ini bertujuan baik,” katanya.

Penyanyi berusia 43 tahun itu menjelaskan, konsert tersebut bukanlah untuk melalaikan namun bersama-sama mencari ilmu kerohanian dan ketenangan.

image is not available

Dalam pada itu, wakil Icon Entertainment Iman Tang berkata, dia menjemput Sakti bukan kerana mahu menganggu istiqamah beliau namun percaya bahawa pendakwah itu mampu menyebarkan dakwah menerusi konsert berkenaan.

“Sebagai penganjur dan sahabat, saya percaya Sakti juga boleh menyebarkan dakwah menerusi kecintaannya terhadap muzik.
“Apatah lagi beliau akan memainkan karya-karya dakwah yang telah digarap cukup indah daripada Opick dan selama ini menjadi ‘santapan jiwa’ buat kita semua.
“Semoga Konsert Tombo Ati Ridho Ilahi – Opick & Sakti Live in Kuala Lumpur mencapai matlamat dan memberi manfaat buat kita semua,” ujarnya.

Konsert Tombo Ati Ridho Ilahi – Opick & Sakti Live in Kuala Lumpur juga akan dimeriahkan lagi dengan kehadiran penyanyi seperti Nur Fazura, UNIC, Zizi Kirana, Adi Priyo dan Yabang Khalifah.

Tiket-tiket dijual dengan harga RM228 (Cahaya Terang), RM268 (Dealova), RM288 (Buat Aku Tersenyum), RM308 (Tombo Ati) dan RM4,888 (Di Bawah Langitmu/8 pax) menerusi web Konsert Opick dan Sakti | Ticket2u.