Salah guna kutipan derma, kerajaan sedia perkukuh undang-undang

LocalPolitics
23 Nov 2026 • 11:26 AM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Salah guna kutipan derma, kerajaan sedia perkukuh undang-undang

SHAH ALAM, 23 NOV: Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri (JPM) bersedia meneliti keperluan memperkukuh undang-undang sedia ada bagi membendung manipulasi dan penyalahgunaan kutipan derma serta pendanaan awam.

Menteri di JPM (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata usaha itu akan membabitkan kerjasama pelbagai kementerian, agensi kerajaan dan jabatan agama negeri bagi memastikan kutipan sumbangan dilaksanakan secara telus dan bertanggungjawab.

Menurutnya, BHEUU sebelum ini melaksanakan reformasi undang-undang berkaitan pemegang amanah bagi memperkukuh ketelusan, pemantauan dan akauntabiliti pengurusan amanah.

"Dalam hal ini, BHEUU JPM sendiri sudah laksana reformasi terhadap Akta Pemegang Amanah 1949 dan Akta Pemegang Amanah (Pemerbadanan) 1952.

"Ia bagi memperkukuh ketelusan, pemantauan dan akauntabiliti pengurusan amanah, termasuk aspek pemunya benefisial serta pencegahan pengubahan wang haram dan pembiayaan keganasan.

"Pindaan terbabit diluluskan Parlimen pada Disember 2024 dan berkuat kuasa pada 20 Februari 2025," katanya kepada BH.

Image from: Salah guna kutipan derma, kerajaan sedia perkukuh undang-undang
Menteri di JPM (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.

Azalina berkata BHEUU turut terbuka bekerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan agensi berkaitan sekiranya terdapat permintaan serta keperluan reformasi perundangan.

Sementara itu, BHEUU memaklumkan Akta Pertubuhan 1966 berada di bawah bidang kuasa KDN, manakala kes membabitkan penipuan, pecah amanah, rasuah atau pengubahan wang haram boleh diambil tindakan oleh agensi penguatkuasaan berkaitan mengikut undang-undang masing-masing.

"Cabaran hari ini ialah kaedah kutipan dana yang berkembang pantas seiring kepesatan teknologi, terutama melalui media sosial, kod QR, pindahan segera, crowdfunding dan transaksi rentas sempadan," menurut BHEUU.

Terdahulu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mencadangkan penubuhan Akta Kebajikan (Akta Khairat) atau Charities Act bagi mencegah penyalahgunaan dana derma dan infak serta meningkatkan ketelusan kutipan sumbangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini turut menyatakan Jawatankuasa Khas Kabinet Tatakelola Nasional bersetuju melaksanakan kajian undang-undang bagi merangka dasar dan draf Rang Undang-Undang (RUU) Khairat untuk mengawal selia entiti amanah serta pendanaan awam.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved