Salt Bae Dikecam Netizen Gara-Gara Suka 'Menyibuk' Dan Tidak Menghormati Trofi Piala Dunia

20 Dec 2022 • 8:11 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Salt Bae bersama-sama pemain Argentina meraikan kemenangan pasukan itu menjuarai Piala Dunia 2022. - Gambar dari Instagram

Chef terkenal antarabangsa Nusret Gokce atau lebih dikenali sebagai 'Salt Bae' dikecam netizen seluruh dunia selepas dia dilihat sakan mengambil gambar bersama pemain-pemain Argentina sebaik sahaja perlawanan akhir Piala Dunia 2022 di Qatar tamat. 

Seperti yang semua tahu, Argentina telah menjuarai Piala Dunia pada tahun ini dan Nusret dilihat sibuk meraikan kejayaan pasukan itu bersama-sama pemain di atas padang.

Dalam video-video serta gambar yang dimuatnaiknya di Instagram, dia telah merakam kenangan bersama beberapa pemain Argentina termasuk Lionel Messi, Di Maria, Lisandro Martinez dan Cristian Romero.

Namun apa yang membuatkan netizen kurang senang ialah dia seolah-oleh tidak menghormati trofi Piala Dunia apabila sesuka hati menyentuh piala keramat itu. Dia juga dilihat membuat gaya menabur garam di atas trofi berkenaan. 

Disebabkan itu, ruangan komen Instagram Nusret dihujani dengan ribuan komen kecaman.

Mereka menggelarnya sebagai seorang yang gila perhatian dan tidak menghormati trofi Piala Dunia yang seharusnya hanya layak disentuh oleh mereka yang memenanginya sahaja. 

image is not available

Di sebalik kecaman itu, ada juga netizen yang membela tindakannya dengan berkata bahawa Nusret merupakan penyokong tegar pasukan Argentina sejak hari pertama dan dia sekadar ingin meraikan detik kemenangan itu bersama pasukan kegemarannya.

Argentina memenangi perlawanan akhir Piala Dunia 2022 selepas menewaskan Perancis menerusi penentuan sepakan penalti dengan keputusan 4-2 di Stadium Lusail, Doha, Qatar, Ahad lalu. - Getaran, 20 Disember 2022.