Salur bantuan tanpa halangan cara elak krisis Gaza memburuk

25 May 2025 • 7:22 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

image is not available

NEW YORK, 25 MEI: Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA) memberi amaran bahawa malapetaka kemanusiaan di Gaza akan bertambah buruk melainkan bantuan secara berterusan dapat disalurkan tanpa halangan.

Menerusi hantaran di platform X pada Ahad, UNRWA berkata sekatan Israel – yang kini memasuki bulan ketiga – telah melumpuhkan usaha bantuan dan mendorong wilayah itu ke dalam krisis yang semakin meruncing itu, lapor agensi berita Qatar (QNA).

UNRWA memaklumkan bahawa Gaza memerlukan antara 500 hingga 600 trak bantuan setiap hari yang diselaraskan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Kemasukan bantuan tanpa halangan ke Gaza adalah satu-satunya cara untuk mengelakkan bencana ini daripada terus meruncing,” tegas agensi itu.

Lintasan sempadan masih ditutup sejak 2 Mac, menyebabkan bekalan penting terkandas di sempadan.

UNRWA berkata rakyat Palestin tidak lagi mampu menunggu ketika kekurangan makanan dan ubat-ubatan semakin meruncing setiap hari.

Sepanjang 80 hari lalu, 58 orang telah meninggal dunia akibat kekurangan zat makanan, manakala 242 lagi – kebanyakannya kanak-kanak dan warga emas – meninggal dunia akibat kekurangan makanan dan ubat-ubatan.

Sekatan itu telah mendorong 2.4 juta penduduk Gaza ke ambang kebuluran.

Dalam beberapa hari kebelakangan ini, tentera Israel telah melancarkan operasi darat di utara dan selatan Gaza, memburukkan lagi keadaan.

-BERNAMA-QNA

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved