
Kini, ia dikongsikan sebuah platform baharu sedang dibangunkan dinamakan Salur, yang berfungsi sebagai dompet digital kerajaan dan juga ekosistem pembayaran untuk subsidi bersasar. Platform atau aplikasi Salur ini kini dalam pembangunan, dan tidak diketahui lagi bilakah akan dilancarkan.
Dompet digital Salur ini dikatakan akan membolehkan kerajaan mengagihkan subsidi bersasar, bantuan, atau faedah lain secara digital, dengan keupayaan untuk menentukan siapa yang layak, untuk apa dana digunakan, dan ke mana ia boleh dibelanjakan, serta memudahkan kerajaan mengesan bagaimana dana kerajaan digunakan.
Perkara ini dikongsikan oleh NexG, syarikat induk sebalik Datasonic Technologies hari ini, melalui perkongsian berita berkenaan tawaran pertimbangan kerajaan untuk mengambil-alih syarikat tersebut. Untuk makluman, Datasonic Technologies mempunyai beberapa kontrak kerajaan, termasuk untuk membekal MyKad dan juga Pasport Antarabangsa Malaysia.
Selain dompet digital “Salur”, sebuah ekosistem digital turut sedang dibangunkan yang turut menyertakan platform pengesahan identiti QR biometrik.
Buat masa ini, info lanjut berkenaan dengan dompet digital Salur ini tidak dikongsikan lagi. Dengan perancangan ini dan beberapa perkara lain dibawah Datasonic Technologies ini mungkin membawa kepada kerajaan pertimbang untuk mengambil-alih syarikat berkenaan.




