Saluran Telegram ‘Edisi Siasat 2.0’ telah disekat

LocalTechnology
21 Jun 2025 • 9:38 AM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

KUALA LUMPUR - Saluran Telegram Edisi Siasat 2.0 yang baru diwujudkan dan mempunyai lebih 100,000 pengikut telah disekat dan tidak lagi boleh diakses oleh pengguna di platform berkenaan.

Tinjauan oleh agensi Bernama di saluran itu mendapati terdapat peringatan yang dipaparkan yang menyatakan 'saluran ini tidak boleh dipapar kerana ia bertentangan dengan undang-undang Malaysia’.

Kumpulan itu diwujudkan selepas saluran “Edisi Siasat” dan “Edisi Khas” disekat baru-baru ini dan Edisi Siasat 2.0 dipercayai dibuat oleh pentadbir sama.

Pada Khamis, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah mengambil langkah tegas dengan memfailkan tindakan sivil terhadap dua saluran di platform Telegram, iaitu “Edisi Siasat” dan “Edisi Khas”.

MCMC dalam kenyataan memaklumkan tindakan itu merupakan yang pertama seumpamanya diambil terhadap penyedia platform media sosial, khususnya memandangkan Telegram merupakan pemegang lesen Perkhidmatan Aplikasi (Kelas) [ASP(C)].

“Ia susulan kegagalan serius Telegram untuk menangani kandungan yang telah berulang kali dilaporkan kepada pihak mereka, walaupun pelbagai usaha rundingan dan kerjasama telah dilakukan oleh MCMC,” menurut kenyataan itu.

Kedua-dua saluran berkenaan dikenal pasti menyebarkan kandungan yang melanggar peruntukan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang berpotensi menghakis kepercayaan terhadap institusi awam serta menjejaskan ketenteraman masyarakat.

Difahamkan, platform media sosial tersebut kerap berkongsi maklumat yang kontroversi daripada orang ramai mengenai aktiviti perjudian dan kegiatan haram yang lain. - 21 Jun, 2025