Sam Altman Mahu Membangunkan Pusat Data AI Dengan Kapasiti Kuasa 5 GigaWatt

TechnologyDigital
30 Sep 2024 • 7:01 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Ia bukanlah sesuatu yang baru bahawa pusat data sekarang, khususnya yang memfokuskan kepada pemprosesan inferens kecerdasan buatan memerlukan tenaga elektrik dan juga bekalan air yang banyak untuk memastikan operasi mereka kekal pada tahap optimum.

Terkini, ia dilaporkan bahawa Sam Altman, CEO OpenAI mengatakan bahawa beliau mahu membangunkan sebuah pusat data khusus untuk tujuan memproses keperluan AI yang mempunyai kapasiti kuasa setinggi 5 GigaWatt.

Jika angka ini sukar untuk difahami, ia merupakan jumlah kuasa sama yang dikeluarkan oleh lima buah loji nuklear pada satu-satu masa. Ia difahamkan bahawa pusat data 5GW ini memakan kuasa sama banyak seperti 100 buah pusat data bersaiz sama yang digunakan untuk tujuan-tujuan selain daripada memproses permintaan kecerdasan buatan.

image is not available

Satu lagi contoh ialah kuasa elektrik 5GW ini boleh menguasakan seluruh bandar Miami di Florida, dan cukup untuk menguasakan negeri New York dua kali. Secara ringkas, kuasa elektrik sebanyak itu untuk kegunaan satu pusat data sahaja sangatlah tidak munasabah. Dan Sam Altman dilihat mahu membangunkan lima ke tujuh pusat data sebegini di seluruh dunia untuk kegunaan OpenAI sahaja.

Kos untuk pembangunan sebuah pusat data sebegini juga adalah sangat mahal. Ia dianggarkan bahawa satu pusat data sebegini, yang akan merumahkan sekitar dua juta cip pemprosesan AI akan menelan belanja sebanyak $100 bilion. Sebagai perbandingan, laporan Fortune mengatakan bahawa Google akan membelanjakan sebanyak $3.3 bilion untuk membangunkan dua pusat data mereka sendiri tidak lama lagi.

Satu lagi isu ialah berkenaan bekalan kuasa yang diperlukan untuk menguasakan pusat data ini. Ia tidak dinafikan bahawa banyak syarikat bekalan kuasa yang boleh menampung penggunaan 5GW, tetapi ini adalah secara sementara sahaja. Untuk keperluan OpenAI, ia akan menggunakan 5GW bekalan kuasa sepanjang masa untuk memproses inferens yang diterima daripada berjuta-juta pengguna yang akan menggunakan teknologi OpenAI.

Perkara ini dilihat merisaukan kerana ia memperlihatkan bahawa sektor teknologi semakin banyak menggunakan sumber alam sekitar, dan banyak daripada janji-janji untuk menjadikan perniagaan mereka sifar karbon ataupun sifar pencemaran nampaknya semakin jauh kerana penggunaan tenaga dan air oleh teknologi kecerdasan buatan.