ByteDance, ibu syarikat disebalik platform-platform video ringkas Douyin dan TikTok baru-baru ini dilaporkan bahawa mereka akan membangunkan sebuah teknologi kecerdasan buatan yang baru. Dimana mereka sedang membangunkan cip pemprosesan mereka sendiri dengan bantuan TSMC, untuk masa yang terdekat ini, mereka dilaporkan akan bekerjasama dengan Huawei untuk keperluan pembelajaran mesin mereka.
Kerjasama diantara ByteDance dan Huawei bukanlah sesuatu yang baru. Mereka kini sudahpun mula menggunakan cip pemprosesan Huawei Ascend 910B untuk tujuan inferens yang mana ia digunakan untuk mengesyorkan kandungan kepada pengguna berdasarkan video-video yang ditonton sebelumnya.
Reuters melaporkan bahawa buat masa ini, ByteDance berminat untuk membeli lebih banyak cip pemprosesan tersebut untuk tujuan pembelajaran mesin untuk membangunkan teknologi kecerdasan buatan baru, walaupun tidak ada butiran mengenainya.

Perkara ini disahkan oleh tiga orang pekerja ByteDance, dengan seorang pekerja keempat mengatakan bahawa syarikat tersebut ada pelan untuk membangunkan sistem kecerdasan buatan baru, tetapi tidak memberi kepastian tentang kerjasama bersama Huawei.
ByteDance membuat keputusan ini nampaknya kerana ia semakin sukar untuk membeli kad grafik NVIDIA untuk tujuan pembelajaran mesin, dan cip pemprosesan mereka sendiri dilihat memakan sebelum ia boleh dimanfaatkan untuk tujuan ini.
Menariknya, ByteDance, melalui seorang jurucakap TikTok di Amerika Syarikat, Michael Hughes mengatakan bahawa syarikat tersebut tidak mempunyai pelan untuk membangunkan teknologi kecerdasan buatan baru.
