
TARIKH hari bahagia Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pada 10 Oktober semakin hampir. Baru-baru ini beliau dilihat mengedarkan sendiri kad undangan perkahwinannya termasuk kepada mantan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Pertemuan berkenaan cukup istimewa apabila bekas Menteri Belia dan Sukan itu sempat mengenang kembali detik pertama ke rumah Muhyiddin sebagai pengacara majlis.
Rupanya bekas Perdana Menteri Malaysia kelapan itu ialah insan pertama yang membuka pintu kepada Syed Saddiq dalam dunia politik hingga mengasaskan parti dan dicalonkan sebagai menteri kabinet.
"Hari ini saya datang sendiri untuk menyerahkan kad jemputan perkahwinan kepada Tan Sri @muhyiddinyassin_official
"Dulu di rumah inilah saya pertama kali bertemu Tan Sri. Saya bermula kecil, sekadar menjadi MC di salah satu program Tan Sri.
"Saya tidak pernah terbayang bahawa daripada pertemuan itu, perjalanan hidup saya akan berubah begitu banyak.
"Tan Sri kemudian memberikan saya ruang dan kepercayaan yang sangat besar. Pada usia 23 tahun, saya diberi peluang bersama-sama mengasaskan BERSATU. Pada usia 25 tahun pula, Tan Sri mencalonkan nama saya untuk menjadi seorang Menteri," titipnya.

Dalam pada itu, ahli politik muda itu juga sempat berkongsi peranan besar Muhyiddin dalam hidupnya yang disifatkan sebagai antara titik penting di pentas politik.
"Hari ini, Tan Sri turut mengingatkan saya tentang satu keputusan yang mungkin telah mengubah seluruh perjalanan hidup saya.
"Ketika saya mendapat biasiswa untuk melanjutkan pengajian di Universiti Oxford, Tan Sri antara insan yang meyakinkan saya supaya tidak pergi dan terus berada di Malaysia untuk berjuang.
"Tetapi ada satu perkara yang tidak akan berubah, Tan Sri adalah antara insan yang membuka pintu kepada perjalanan politik saya.
"Daripada seorang anak muda yang baru mahu belajar tentang dunia politik, banyak peluang, pengalaman dan pelajaran pertama saya bermula di bawah kepimpinan beliau.

"Perjalanan selepas itu tidak selalunya mudah. Ada persetujuan, ada perbezaan. Ada ketika kami berjalan bersama, dan ada ketika kami memilih jalan yang berbeza.
"Tetapi politik tidak sepatutnya memadam sejarah, apatah lagi rasa terima kasih," kongsinya.
Penulis buku memoir Jalan Tegak itu juga menyatakan berbesar hati untuk melihat insan yang pernah memberi ruang dan kepercayaan kepadanya pada awal perjalanan politik turut hadir meraikan perkahwinannya tidak lama lagi.
"Bertemu semula secara peribadi hari ini membuatkan saya tersenyum dan terkenang kembali begitu banyak perkara. Masa berlalu, keadaan berubah, tetapi setiap insan yang pernah menjadi sebahagian daripada perjalanan hidup kita tetap meninggalkan kesannya.
"Saya akan memulakan satu lembaran baharu dalam hidup bersama @bellaastillah tidak lama lagi. Saya gembira dapat datang sendiri menjemput Tan Sri dan Puan Sri untuk turut bersama meraikannya.

"Berbeza politik tidak bermakna kita perlu melupakan budi, persahabatan dan sejarah yang pernah dibina bersama.
"Terima kasih, Tan Sri, atas peluang, kepercayaan dan segala pelajaran sepanjang perjalanan ini. Ada yang manis. Ada juga yang sangat menguji. Kesemuanya membentuk siapa saya hari ini. Thank you sir," kongsinya.
Terdahulu, beliau memuat naik pertemuan dengan bekas Perdana Menteri Malaysia keempat dan ketujuh, Tun Dr Mahathir Mohamed dan isteri, Tun Dr Hasmah Mohd Ali untuk menyerahkan kad undangan.
Syed Saddiq dan tunangnya, Bella Astillah turut meluangkan masa bertemu sendiri isteri Perdana Menteri dan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail untuk tujuan yang sama.
Mantan Perdana Menteri kesembilan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar antara yang turut menerima kad undangan perkahwinan secara hantar tangan daripada Syed Saddiq
Sekadar info, Syed Saddiq dan Bella telah bertunang pada 28 Mac lalu.






