SHAH ALAM - Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkunjung ke kediaman bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi menyerahkan kad undangan majlis persandingannya bersama penyanyi, Bella Astillah.
Perkara itu dikongsikan Muhyiddin menerusi hantaran di Facebook pada Selasa, yang memaklumkan beliau dan isteri menerima kunjungan istimewa Syed Saddiq.
Menurutnya, beliau dan isteri amat gembira menerima perkhabaran dan jemputan istimewa berkenaan.
"Alhamdulillah, hari yang dinanti-nantikan akhirnya tiba.
"Buat Syed Saddiq dan Bella, semoga segala urusan menuju alam perkahwinan dan perjalanan membina istana bahagia dipermudahkan ALLAH SWT," katanya.
Muhyiddin turut mendoakan agar rumah tangga yang bakal dibina Syed Saddiq dan Bella sentiasa dilimpahi kasih sayang, ketenangan, keberkatan serta kebahagiaan.
“Selamat melangkah ke fasa baharu kehidupan. Semoga kekal bahagia hingga ke syurga, insya-ALLAH,” katanya.






