Samaiden terus mencatat prestasi kukuh FY2026 disokong buku tempahan RM488 juta, permintaan tinggi tenaga boleh baharu – MBSB Research

LocalBusiness & Finance
20 May 2026 • 9:28 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Samaiden terus mencatat prestasi kukuh FY2026 disokong buku tempahan RM488 juta, permintaan tinggi tenaga boleh baharu – MBSB Research Image from: Samaiden terus mencatat prestasi kukuh FY2026 disokong buku tempahan RM488 juta, permintaan tinggi tenaga boleh baharu – MBSB Research liza20/05/2026 - 09:28 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 20 Mei – Samaiden Group Berhad dijangka mencatat prestasi kewangan yang lebih kukuh bagi tahun kewangan 2026 (FY2026) disokong oleh margin projek solar yang lebih tinggi, kecekapan kos serta buku tempahan yang mantap, menurut MBSB Research.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan ‘Beli’ terhadap saham Samaiden dan menaikkan harga sasaran kepada RM1.88 daripada RM1.73 sebelum ini, mencerminkan keyakinan terhadap prospek pertumbuhan kumpulan.

 

Menurut MBSB Research, Samaiden merupakan antara penerima manfaat utama dalam peluang kontrak kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) menerusi projek solar berskala besar di bawah program Loji Solar Berskala Besar (LSS) 5 dan LSS5+, selain potensi daripada LSS6 pada masa akan datang.

 

“Kumpulan itu juga dijangka mendapat manfaat daripada Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) yang terus merangsang permintaan tenaga boleh baharu (RE),” kata MBSB Research dalam nota kajiannya.

 

Bagi suku ketiga tahun kewangan berakhir Mac 2026 (3QFY26), keuntungan bersih teras Samaiden meningkat 71% tahun ke tahun kepada RM8.6 juta walaupun hasil susut 23.9% kepada RM67.9 juta.

 

Penurunan hasil itu berpunca daripada pengiktirafan pendapatan yang lebih rendah daripada kerja awal tapak bagi projek LSS5, namun margin keuntungan meningkat hasil projek baharu yang lebih tinggi.

 

Bagi tempoh sembilan bulan pertama FY2026, keuntungan bersih teras kumpulan meningkat 51.6% kepada RM21.8 juta, melebihi jangkaan MBSB Research sebanyak 84.5% daripada unjuran penuh tahun dan berada dalam lingkungan konsensus pasaran pada 72.5%.

 

Firma itu berkata peningkatan prestasi itu disokong oleh kemajuan pembinaan beberapa projek solar berskala utiliti serta projek tenaga hijau korporat yang sedang berjalan.

 

“Keuntungan lebih tinggi turut dipacu oleh pengurusan rantaian bekalan yang lebih baik serta kawalan kos operasi yang lebih berkesan sepanjang tempoh tersebut.

 

“Samaiden turut memaklumkan bahawa isu kenaikan kos panel solar susulan pembatalan rebat cukai nilai tambah eksport ke atas produk solar fotovolta (PV) dari China tidak memberi kesan ketara kepada prestasi kumpulan.

 

“Ini kerana bekalan modul bagi projek yang sedang berjalan telah diperoleh lebih awal melalui kontrak tetap, sekali gus mengurangkan pendedahan kepada harga pasaran semasa khususnya bagi projek kecil komersial dan industri (C&I),” katanya.

 

t

 

Setakat ini, buku tempahan tertunggak Samaiden berada pada paras RM488.4 juta, yang memberi keterlihatan pendapatan jangka pendek yang stabil kepada kumpulan.

 

Dalam perkembangan lain, Samaiden turut disenarai pendek di bawah program LSS5 bagi membangunkan ladang solar berkapasiti 99.99 megawatt (MW) di Pasir Mas, Kelantan.

 

Projek tersebut dijangka menjadi salah satu pemangkin utama pertumbuhan masa depan kumpulan dalam segmen tenaga boleh baharu berskala besar di Malaysia.

 

Pada Mac 2025, Samaiden turut menandatangani perjanjian pembelian tenaga (PPA) selama 21 tahun dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB), yang akan membeli tenaga bersih daripada projek tersebut selepas tarikh operasi komersial yang dijadualkan pada Oktober 2027.

 

MBSB Research turut menjangkakan momentum tempahan baharu akan disokong oleh projek LSS5+, sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS) serta pemasangan solar bumbung bagi segmen kediaman, komersial dan industri.

 

Seiring prospek tersebut, firma itu telah menaikkan unjuran pendapatan Samaiden bagi FY2026 hingga FY2028 masing-masing sebanyak 23.6%, 28.0% dan 13.8% susulan jangkaan margin EPCC yang lebih kukuh daripada sebelum ini.

 

Dari segi penilaian, harga sasaran baharu RM1.88 adalah berdasarkan kaedah jumlah bahagian (sum-of-the-parts, SOTP) yang mengambil kira nilai perniagaan EPCC serta projek tenaga boleh baharu yang sedang dan akan dibangunkan.

 

Pada harga semasa RM1.21, MBSB Research menganggarkan potensi pulangan keseluruhan sebanyak 57.9%, termasuk jangkaan kenaikan harga saham dan hasil dividen sekitar 2.5%.

 

Secara keseluruhan, MBSB Research melihat prospek Samaiden kekal positif disokong oleh portfolio projek yang kukuh, peningkatan margin serta pendedahan kepada pertumbuhan jangka panjang sektor tenaga hijau di Malaysia. - DagangNews.com

Terkini standard