Saman fitnah: MP Kepong diperintah bayar ganti rugi RM75,000 berbanding RM2 juta

LocalPolitics
29 Sep 2025 • 4:34 AM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan hari ini memerintahkan Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng membayar ganti rugi sebanyak RM75,000 sahaja berbanding jumlah asal RM2 juta kepada sebuah firma e-dagang, MonSpace (M) Sdn Bhd dan pengasasnya, Datuk Seri Jessy Lai Cha Suang, dalam kes saman fitnah.

Keputusan itu dibuat oleh panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan yang terdiri daripada Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim, Datuk Collin Lawrence Sequerah dan Datuk Faizah Jamaludin yang secara sebulat suara mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang mendapati Lim telah memfitnah kedua-dua responden.

Hakim Sequerah ketika menyampaikan keputusan itu berkata, jumlah ganti rugi sebanyak RM2 juta yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur adalah keterlaluan, lapor Bernama.

Beliau menyatakan kenyataan Lip Eng adalah berdasarkan dakwaan yang tidak disokong serta gagal disahkan dan disemak secara bebas.

Sequerah berkata panel itu bersetuju dengan dapatan hakim Mahkamah Tinggi bahawa perkataan yang dipertikai adalah fitnah dan telah mencemarkan reputasi responden.

Beliau berkata kenyataan Lip Eng telah dibuat berdasarkan andaian dan mendakwa Lai telah memberi rasuah kepada pegawai kerajaan untuk mengelakkan tindakan penguatkuasaan.

"Defendan telah mengaku bahawa beliau tidak mendapatkan penjelasan daripada plaintif sebelum membuat kenyataan itu. Beliau juga gagal mengemukakan sebarang dokumen untuk mengesahkan kebenaran.

"Ia adalah satu dakwaan serius yang telah menjejaskan reputasi plaintif. Oleh itu, tiada alasan untuk campu tangan dalam keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan saman plaintif,” katanya. 

MonSpace dan Lai diwakili peguam Ivanpal Singh Grewal dan Dhanesh Subramaniam Nair manakala Lip Eng diwakili Datuk Sankara Nair.

Panel itu turut mengurangkan jumlah kos yang diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi dalam kes berkenaan iaitu daripada RM250,000 kepada RM50,000.

Pada 16 Mac 2023, Mahkamah Tinggi telah memerintahkan Lim membayar ganti rugi sebanyak RM2 juta kepada syarikat e-dagang itu dan Lai selepas membenarkan saman fitnah mereka terhadap beliau.

Lai dan MonSpace memfailkan saman terhadap Lip Eng (defendan) pada Jun 2019, kerana mendakwa defendan mengeluarkan kenyataan memfitnah yang diterbitkan dalam akhbar berbahasa Inggeris dan Cina bahawa mereka menjalankan perniagaan haram dan menipu pelabur dari negara China.

Lai berkata, Lip Eng telah membuat kenyataan itu pada Mei 2017 dan November 2018 apabila beliau membawa sekumpulan individu, yang dikatakan pelabur MonSpace, ke pejabat Lai dan kemudiannya membuat laporan polis terhadapnya.

Beliau turut mendakwa kenyataan itu memberi tekanan kepada pihak berkuasa, termasuk polis, Bank Negara Malaysia (BNM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), untuk mengambil tindakan terhadapnya.

Lip Eng telah memfailkan rayuan terhadap keputusan itu pada hari yang sama. - 29 September, 2025

The post Saman fitnah: MP Kepong diperintah bayar ganti rugi RM75,000 berbanding RM2 juta appeared first on Scoop.