Saman SKMM tidak jejas pelaburan RM61.1 bilion Google di Malaysia

LocalBusiness & Finance
27 Nov 2026 • 4:53 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Saman SKMM tidak jejas pelaburan RM61.1 bilion Google di Malaysia

PUTRAJAYA, 27 NOV: Tindakan undang-undang Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) terhadap Google LLC berhubung kandungan memudaratkan di YouTube tidak akan menjejaskan pelaburan syarikat gergasi teknologi itu berjumlah AS$15 bilion (kira-kira RM61.1 bilion) di Malaysia.

Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata tindakan undang-undang itu melibatkan aspek pematuhan terhadap kerangka kawal selia negara bagi melindungi rakyat daripada kandungan memudaratkan dan tidak mempunyai kaitan dengan pelaburan syarikat itu.

"Ia adalah dua perkara yang berbeza kerana dari segi kawal selia, kita mempunyai satu pandangan yang mana rakyat Malaysia tidak harus didedahkan kepada kandungan memudaratkan seperti yang termaktub dalam Akta Keselamatan Dalam Talian," katanya pada sidang media mingguan di sini, hari ini.

Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan MADANI berkata demikian ketika ditanya sama ada tindakan undang-undang SKMM terhadap Google akan menjejaskan pelaburan syarikat itu di Malaysia.

Mengulas lanjut, beliau berkata dalam menangani isu kandungan memudaratkan, SKMM akan merujuk pada Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 serta Jawatankuasa Keselamatan Dalam Talian bagi menentukan takrifan kandungan berkenaan.

"Ia adalah perbincangan beraspek kawal selia, tidak berkait dengan isu pelaburan," katanya sambil menzahirkan harapan agar pihak berkaitan dapat memberikan kerjasama dalam menangani isu itu.

Pada Rabu lepas, SKMM memulakan dua tindakan undang-undang terhadap Google LLC dengan tuntutan ganti rugi keseluruhan RM600 juta berhubung dakwaan kegagalan syarikat itu mengambil tindakan sewajarnya terhadap kandungan memudaratkan di YouTube.

Menurut SKMM, kedua-dua saman itu melibatkan perkara berbeza membabitkan dakwaan kegagalan Google mematuhi kewajipan di bawah undang-undang serta syarat lesen yang terpakai.

Pada 4 November lepas, Google mengumumkan pelaburan sebanyak AS$15 bilion di Malaysia dalam tempoh dua tahun akan datang yang dijangka menyumbang purata US$1.1 bilion setiap tahun kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara sepanjang fasa pembinaan selain menyokong lebih 37,000 peluang pekerjaan tempatan setiap tahun.

Presiden dan ketua pegawai pelaburan Alphabet dan Google Ruth Porat berkata pelaburan tersebut yang merangkumi tempoh dua tahun iaitu 2027 dan 2028, melibatkan perluasan infrastruktur digital syarikat itu menerusi kampus pusat data baharu di Selangor dan Negeri Sembilan.

Perluasan itu adalah susulan pembinaan kampus pusat data pertama Google di Elmina Business Park, Selangor, yang kini telah beroperasi sepenuhnya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved