KANGAR - Orang ramai disaran menyambut Aidilfitri secara sederhana dengan mengamalkan prinsip ukur baju di badan sendiri bagi mengelakkan beban kewangan selepas musim perayaan.
Pengarah Pusat Komunikasi Korporat Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Muhamad Azuan Mohamad Nasir berkata, setiap kali menjelang Syawal, masyarakat cenderung meningkatkan perbelanjaan bagi membuat pelbagai persiapan.
Menurutnya, suasana meriah di pusat beli-belah dan bazar Ramadan sering mendorong pengguna berbelanja lebih daripada kebiasaan.
"Terdapat segelintir individu yang sanggup berbelanja di luar kemampuan, malah membuat pinjaman semata-mata untuk memastikan sambutan hari raya kelihatan sempurna.
“Pendekatan ini boleh membawa kepada tekanan kewangan selepas perayaan, sedangkan Aidilfitri bukanlah tentang kemewahan tetapi nilai kesyukuran dan silaturahim,” katanya kepada Sinar Harian.
Beliau berkata, dalam Islam, konsep kesederhanaan atau wasatiyyah perlu dijadikan panduan dalam setiap aspek kehidupan termasuk pengurusan kewangan.
Jelasnya, peribahasa ukur baju di badan sendiri harus diamalkan agar masyarakat tidak terikut-ikut dengan kehendak semasa yang bersifat sementara.
"Dalam konteks sambutan Aidilfitri pula, ia bermaksud masyarakat perlu merancang perbelanjaan dengan bijak agar kegembiraan menyambut Hari Raya tidak bertukar menjadi beban kewangan selepasnya," ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan agar bantuan khas kewangan yang disalurkan pada Mac oleh kerajaan perlu dimanfaatkan secara berhemah.
Menurutnya, bantuan tersebut sewajarnya digunakan untuk keperluan asas keluarga dan perkara yang lebih penting.
"Bantuan berkenaan sewajarnya dimanfaatkan untuk keperluan yang lebih utama seperti menyediakan keperluan asas keluarga, membeli kelengkapan yang perlu atau membantu ahli keluarga yang memerlukan," katanya lagi.
Sementara itu, dalam aspek keselamatan khususnya melibatkan kanak-kanak juga tidak boleh dipandang ringan sepanjang musim perayaan.
Menurut Muhamad Azuan, setiap tahun kes kecederaan akibat bermain mercun tanpa pengawasan masih berlaku dan perlu diberi perhatian serius.
“Ibu bapa perlu memainkan peranan dalam memantau aktiviti anak-anak bagi memastikan keselamatan mereka sentiasa terjamin,” katanya.
Beliau menambah, sambutan Aidilfitri juga merupakan waktu terbaik untuk memperkukuh hubungan dalam masyarakat.
Ukarnya, amalan menghulurkan bantuan kepada golongan kurang bernasib baik seperti fakir miskin dan anak yatim perlu diteruskan.
"Kesederhanaan dalam berbelanja bukan sahaja dapat mengelakkan pembaziran, malah membantu membentuk budaya kewangan yang lebih sihat.
“Nilai yang dipupuk sepanjang Ramadan seperti kesabaran dan keinsafan perlu diteruskan agar sambutan Aidilfitri lebih bermakna,” tambahnya.



