

Kementerian Pengangkutan (MOT) menyeru para pemandu kenderaan komersial untuk memanfaatkan inisiatif ‘Health Check for Drivers’. Gesaan ini dibuat susulan kadar penyertaan yang masih rendah, sedangkan pemandu hanya dikenakan bayaran sebanyak RM30.
Menterinya, Anthony Loke berkata, kos sebenar saringan kesihatan itu hanyalah RM85, namun Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) memberikan subsidi RM55 bagi setiap pemandu.
Bagaimanapun, kos yang perlu ditanggung setiap pemandu hanyalah RM30 dan selebihnya ditanggung PERKESO.
“Ketika ini, tidak ramai pemandu memanfaatkan inisiatif itu,” katanya ketika ditemui selepas majlis perhimpunan bulanan MOT, semalam.
Pemandu khususnya mereka yang semakin berusia perlu mengambil inisiatif menjalani pemeriksaan kesihatan bagi memastikan sebarang masalah kesihatan dapat dikenal pasti lebih awal.
“Ini demi keselamatan mereka. Kerana kadangkala pemandu-pemandu tidak sedar bahawa mungkin mereka ada rekod kesihatan kerana tak ada pemeriksaan, mungkin darah tinggi, mungkin ada tanda-tanda diabetes dan sebagainya, itu perlu diperiksa lebih awal,” katanya.
Sebelum ini, MOT bersama PERKESO melaksanakan inisiatif Health Check for Drivers bermula 30 Jun lalu bagi memberi penekanan terhadap aspek kesihatan dan kesejahteraan pemandu, khususnya mereka yang membawa penumpang dan mengendalikan kenderaan perdagangan.
Sumber Utusan Malaysia

