Sambutan Meriah Gawai Dayak Bazaar 2025 Selama 11 Hari Di MJC Bermula Esok

14 May 2025 • 2:06 PM MYT
I Love Borneo
I Love Borneo

Laman infotainment, gaya hidup dan pelancongan di Borneo

image is not available

Bazar Gawai Kembali Dengan Tarikan Baru

Sambutan Meriah Gawai Dayak Bazaar 2025 Selama 11 Hari Di MJC Bermula Esok. Sambutan perayaan Gawai Dayak tahun ini dijangka lebih meriah dengan penganjuran Gawai Dayak Bazaar 2025 yang akan berlangsung selama 11 hari bermula 15 Mei hingga 25 Mei di MJC Batu Kawah New Township.

Diketuai oleh Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Gawai Peringkat Negeri, Datuk Gerawat Gala, bazar ini akan menampilkan 180 gerai yang diusahakan oleh komuniti tempatan. Gerai-gerai ini menawarkan pelbagai jenis barangan seperti hasil kraftangan, makanan, minuman, dan barangan kering.

Bazar ini bukan sahaja menyerikan sambutan Gawai Dayak, tetapi juga menjadi platform untuk mempromosikan hasil kraftangan tempatan, memupuk perpaduan, dan memperkenalkan kekayaan budaya masyarakat Dayak,” kata Gerawat seperti dilaporkan oleh Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas).

Majlis perasmian bazar akan disempurnakan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, dengan tarikh rasmi akan diumumkan tidak lama lagi.

image is not available
Sumber gambar: The Borneo Post

Aktiviti Budaya & Hiburan Untuk Semua

Sepanjang 11 hari berlangsungnya bazar, pelbagai program kebudayaan dan hiburan telah dirancang, termasuk pertandingan Gawai Idol, Ratu Gawai, serta Battle of the Band yang menyasarkan penyertaan aktif daripada golongan muda dan masyarakat umum.

“Bazar ini terbuka kepada semua kaum. Kita mengalu-alukan kehadiran semua pihak untuk turut serta memeriahkan suasana sambil menyokong para usahawan tempatan,” tambah Gerawat yang juga merupakan Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek).

Fokus Pada Masyarakat Orang Ulu

Menariknya, sambutan Gawai Dayak tahun ini memberikan penghormatan kepada komuniti Orang Ulu untuk menjadi tuan rumah utama. Ini membuka peluang luas untuk menonjolkan adat resam serta warisan unik masyarakat tersebut kepada seluruh rakyat Sarawak dan juga pelawat dari luar.

Beberapa acara utama turut dirancang termasuk:

  • Karnival Tradisi Gawai: 12 dan 13 Jun di Bangunan FORUM, Miri.
  • Perarakan Gawai Dayak: 21 Jun di Kuching Waterfront, yang akan dirasmikan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
  • Majlis Makan Malam Gala Gawai Dayak: 22 Jun di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), dijangka dihadiri oleh Yang Di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Sebagai pelengkap sambutan, sebuah buku meja kopi bertemakan budaya dan warisan Dayak juga akan dilancarkan, mempamerkan kekayaan sejarah dan nilai budaya kaum Dayak dalam bentuk visual dan naratif eksklusif.