Samenta cadang tonggak kelima ekosistem diperkasa untuk perkukuh kerangka pembangunan PKS

LocalBusiness & Finance
19 Dec 2025 • 11:15 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Samenta cadang tonggak kelima ekosistem diperkasa untuk perkukuh kerangka pembangunan PKS
image is not available
haziq19/12/2025 - 11:15 Oleh HAZIQ HAKIMI haziq@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 19 Dis – Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (Samenta) mencadangkan agar rangka kerja pembangunan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) negara diperkukuh dengan penambahan tonggak kelima yang memberi tumpuan kepada pembentukan ekosistem diperkasa.

 

Cadangan itu dikemukakan susulan pengumuman Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) yang baharu Steven Sim yang menggariskan strategi untuk memacu pertumbuhan ekonomi melalui pemerkasaan PKS dan pengukuhan gerakan koperasi.

 

Menurut Sim, KUSKOP akan memacu pertumbuhan perniagaan Malaysia berasaskan pendekatan ABCD, merangkumi A – Anjakan Produktiviti, B – Birokrasi Dipermudahkan, C – Capaian Modal dan D – Daya Akses Pasaran.

 

Dalam kenyataan, Samenta berkata keempat-empat tonggak tersebut secara langsung menangani kekangan struktur yang telah lama dihadapi oleh PKS, termasuk kemerosotan produktiviti, peningkatan beban peraturan, jurang pembiayaan serta akses pasaran yang terhad.

 

“Bagi memperkukuh lagi kerangka ini, Samenta dengan rendah hati mencadangkan penambahan satu teras kelima iaitu E – Ekosistem Diperkasa.

 

“Ekosistem PKS dan dasar yang memperdayakan adalah penting bagi memastikan pencapaian dalam aspek produktiviti, modal dan akses pasaran dapat dikekalkan secara mampan,” katanya.

 

Samenta menjelaskan, ekosistem diperkasa merangkumi akses kepada bakat, penerapan digital, keupayaan inovasi, piawaian tadbir urus, integrasi rantaian bekalan, penyelarasan berkesan antara agensi serta kerjasama kukuh dengan persatuan industri.

 

Menurutnya, dengan ekosistem yang kukuh dan menyokong, impak inisiatif ABCD dapat diperdalam, di samping membuka serta mempercepatkan pelaksanaan program dan perancangan sedia ada merentas keseluruhan ekosistem PKS.

 

Dalam pada itu, Samenta turut menyatakan komitmen untuk memberikan sokongan penuh kepada Sim dan KUSKOP dalam memajukan agenda ABCD serta kerangka diperluas ABCDE.

 

“Kami bersedia untuk menyokong dengan memberikan pandangan peringkat asas daripada PKS merentasi pelbagai sektor, menyokong pelaksanaan dan reka bentuk dasar, membantu inisiatif produktiviti, keupayaan dan peningkatan tadbir urus, selain menggerakkan PKS agar sejajar dengan keutamaan ekonomi negara,” katanya. - DagangNews.com

Terkini standard