Sistem DRG dorong pelaksanaan insurans kesihatan asas, kata HLIB

LocalBusiness & Finance
16 Apr 2025 • 3:04 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Sistem DRG dorong pelaksanaan insurans kesihatan asas, kata HLIB

image is not available

16/04/2025 - 15:04

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 16 April - Langkah kerajaan untuk memperkenalkan sistem pembayaran berasaskan Kumpulan Berkaitan Diagnostik (DRG) dilihat sebagai satu langkah positif, terutamanya menjelang pelancaran produk insurans dan takaful kesihatan asas tidak lama lagi.

Menurut HLIB, pendekatan baharu itu lebih baik berbanding cadangan asal pada Disember 2024 untuk meminda Akta 586 dan menggantikan model bayaran berdasarkan rawatan kepada sistem DRG.

"Pendekatan yang lebih tersasar ini memberi akses kepada golongan yang sebelum ini tidak mampu mendapatkan perlindungan insurans atau takaful, sambil mengekalkan daya saing sektor penjagaan kesihatan swasta," menurut firma penyelidikan itu dalam satu laporan.

Katanya, individu yang mampu mendapatkan perlindungan menyeluruh, dijangka terus mengekalkan pelan sedia ada kerana mereka masih mahu menikmati faedah premium serta akses ke hospital-hospital swasta ternama, berbanding memilih penyedia perkhidmatan pada harga pertengahan atau bukan berasaskan keuntungan.

HLIB turut memetik pandangan Bank Dunia yang menekankan, pelaksanaan sistem DRG memerlukan perancangan rapi, terutamanya ketika tempoh peralihan.

Antara prasyarat klinikal yang perlu adalah memilih cara untuk mengkategorikan jenis-jenis penyakit atau rawatan (grouping logic) dan menentukan Case Group Weight (CGW), iaitu satu ukuran untuk menunjukkan berapa banyak sumber seperti masa, tenaga kerja dan ubat-ubatan yang biasanya diperlukan bagi sesuatu jenis penyakit berbanding yang lain.

"Malaysia sudah membangunkan kelompok DRG yang direka khas mengikut keperluan sistem kesihatan negara.

"CGW pula akan digunakan untuk mengira bayaran berasaskan DRG dengan mendarabkannya bersama kadar asas yang telah ditetapkan," ujarnya.

Menurut Bank Dunia, terdapat tiga kaedah utama yang digunakan di peringkat antarabangsa untuk menentukan CGW, sama ada menggunakan data caj hospital sedia ada atau bayaran balik insurans/takaful, menjalankan kajian kos secara terperinci atau mengguna pakai data dari negara lain secara terpilih.

HLIB juga mengekalkan unjuran "overweight" bagi sektor penjagaan kesihatan Malaysia tahun ini, dengan tumpuan utama kepada segmen hospital.

"Kami masih yakin terhadap potensi pertumbuhan jangka panjang sektor ini yang kukuh, menjadikannya pilihan pelaburan utama dalam ketidaktentuan ekonomi global masa kini.

"Kami juga menjangka lonjakan nilai sektor ini didorong oleh tema domestik seperti penyenaraian awam (IPO), terutamanya dengan jangkaan penyenaraian Sunway Healthcare Group (SHG) pada penghujung 2025," jelas laporan itu lagi. - DagangNews.com

standard