Sampah berlapis sukarkan projek dalam Sungai Klang

LocalEnvironment
22 Oct 2026 • 2:21 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Sampah berlapis sukarkan projek dalam Sungai Klang

SHAH ALAM – Lapisan sampah termasuk seluar jeans, basikal buruk, kereta sorong bayi dan tilam menyukarkan kerja mendalamkan Sungai Klang sepanjang 54 kilometer yang dijangka siap dalam tempoh dua tahun lagi.

Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Datuk Izham Hashim berkata, keadaan dasar sungai yang dipenuhi sampah dan lumpur menjadi cabaran besar selepas lebih 20 tahun tidak menjalani kerja mendalamkan sungai.

Menurutnya, kerja pengorekan pada awalnya dijangka hanya melibatkan pasir dan lumpur, namun keadaan sebenar jauh lebih rumit apabila pelbagai barangan buangan menyekat operasi mesin.

“Kita dapati dalam sungai itu, ada berlapis-berlapis sampah dan lumpur. Macam-macam sampah seperti basikal buruk, tilam dan kereta sorong.

“Malah, salah satu saya terkejut adalah seluar jeans. Walaupun telah terendam lama, kalau masuk dalam mesin pemotong, mesin itu boleh rosak.

“Kerja mengorek sepanjang 20 hingga 30 meter sehari pun sudah dianggap pencapaian luar biasa kerana keadaan dasar sungai yang dipenuhi sampah,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan penutupan Friends Of River di sini, hari ini.

Untuk rekod, projek pendalaman serta pelebaran hilir Sungai Klang telah dimulakan pada 31 Oktober 2022 bagi mengurangkan risiko banjir.

Izham berkata, projek yang pada awalnya disasarkan siap dalam tempoh lima tahun itu berpotensi dipercepatkan kepada satu setengah hingga dua tahun susulan kelulusan beberapa projek berkaitan oleh Kerajaan Persekutuan.

Katanya, kemajuan kerja pengorekan kini mencapai sekitar 30 hingga 40 peratus, termasuk usaha mengukuhkan tebing sungai menggunakan teknologi baharu.

“Bagaimanapun, kerja mendalamkan sungai itu mula menunjukkan kesan positif apabila kapasiti tampungan air meningkat daripada kira-kira satu meter kepada empat meter, sekali gus membantu mengurangkan risiko banjir,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kedudukan jambatan di sepanjang sungai turut menjadi cabaran kerana reka bentuknya perlu mengambil kira keperluan aliran air yang lebih tinggi.

“Kerajaan negeri juga sedang meneliti pemasangan log boom di saluran keluar longkang bagi menghalang sampah memasuki sungai dan mengurangkan risiko mesin pengorek tersangkut atau rosak.

“Jika sampah dapat dihalang daripada memasuki sungai, kerja pembersihan akan menjadi lebih mudah. Namun, kaedah pelaksanaan masih diteliti kerana melibatkan kos pengurusan sampah,” katanya. – KOSMO! ONLINE

The post Sampah berlapis sukarkan projek dalam Sungai Klang appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved