8.7 juta kilogram bahan kitar semula jana RM3.24 juta

LocalEnvironment
25 Nov 2026 • 5:26 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: 8.7 juta kilogram bahan kitar semula jana RM3.24 juta

PUTRAJAYA: Program Trash to Cash berjaya mengumpul lebih 8.7 juta kilogram bahan kitar semula dengan nilai jualan melebihi RM3.24 juta bagi tempoh Januari hingga September tahun ini.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, pencapaian itu membuktikan bahan buangan yang diasingkan masih mempunyai nilai ekonomi dan mampu menjana pendapatan.

“Ini nilai ekonomi yang boleh dihasilkan daripada sampah ataupun bahan yang masih bernilai diasingkan kemudian dijual,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutup Persidangan dan Pameran Pengurusan Sisa Mampan 2026 (SWM 2026), di sini, hari ini.

Beliau berkata, masyarakat perlu mengubah paradigma daripada melihat sisa sebagai bahan buangan kepada sumber yang mempunyai nilai ekonomi.

“Kita perlu mengubah paradigma daripada melihat sisa sebagai bahan buangan kepada melihatnya sebagai sumber yang mempunyai nilai ekonomi.

“Penerapan konsep ‘waste-to-wealth’ membuka ruang untuk meneroka nilai sebenar bahan yang selama ini dibuang begitu sahaja,” katanya.

Menurutnya, usaha membina ekonomi kitaran memerlukan ekosistem lengkap termasuk pengasingan sisa di punca, sistem kutipan cekap serta kemudahan pemprosesan moden.

“Pada masa yang sama, bahan yang berjaya dipulihkan perlu mempunyai pasaran serta industri yang bersedia memanfaatkannya semula,” katanya.

Nga Kor Ming berkata, sasaran kerajaan selaras dengan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) adalah mengalihkan 48 peratus sisa daripada tapak pelupusan menjelang 2030.

Katanya, pengurusan sisa pepejal bukan hanya bergantung kepada perkhidmatan yang disediakan, sebaliknya amalan mengasingkan sisa di punca turut membantu mengurangkan jumlah sisa yang perlu diproses dan dilupuskan.

“Penyertaan masyarakat dalam amalan ini wajar terus diperluas,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan akan terus memperkasa dasar pengurusan sisa pepejal, memodenkan industri dan memacu kelestarian bandar bagi memastikan pengurusan sisa negara lebih mampan.

Dalam perkembangan lanjut, kerajaan mencapai persetujuan dengan Global Climate Fund dan Climate Adaptation Fund bagi melaksanakan inisiatif Zon Sifar Sisa (Zero Waste District) di tiga lokasi sebagai fasa permulaan.

“Tiga lokasi terlibat ialah KLCC, Georgetown di Pulau Pinang dan Kuching Selatan. Bagi fasa permulaan, kita menerima peruntukan daripada Global Climate Fund sebanyak AS$4 juta (kira-kira RM16 juta),” katanya.

Beliau berkata, kerajaan turut menyasarkan untuk mendapatkan dana keseluruhan kira-kira AS$20 juta bagi memperkukuh usaha memelihara kelestarian alam sekitar. – UTUSAN

The post 8.7 juta kilogram bahan kitar semula jana RM3.24 juta appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved