“Sampai sekarang mak trauma” – Anak Bekas Ahli Tertinggi GISB Dedah ‘Sisi Gelap’ Organisasi

Entertainment
20 Sep 2024 • 5:15 PM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

image is not available

Syarikat GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) masih hangat diperkatakan ketika ini susulan satu persatu penangkapan dan pendedahan yang melibatkan jenayah dan ajaran yang dikaitkan dengan organisasi mereka.

Isu pertubuhan itu menjadi perdebatan hangat dalam kalangan netizen dengan ada yang mendakwa operasi yang dilakukan ini kononnya ingin menjatuhkan perniagaan syarikat terbabit.

Terbaharu, seorang TikToker bernama Sabrina Bolivar membuat pendedahan mengejutkan mengenai organisasi ini yang didakwa telah membuatkan ibunya trauma sehingga sekarang.

Tujuan Sabrina berkongsi video itu adalah untuk memberi kesedaran kepada pihak-pihak yang mendakwa serbuan yang dilakukan mahu menjatuhkan ‘ekonomi Islam’.

image is not available

Arwah bapa salah seorang ahli tertinggi GISB

Menurut Sabrina, dari kecil lagi dia melihat banyak pengabaian yang berlaku kepada ibunya semasa bersama dalam organisasi tersebut

Namun, dia bersyukur ibu dan adik-beradiknya dapat diselamatkan oleh neneknya yang berjuang untuk mengeluarkan mereka daripada kumpulan itu.

Mak sukakan agama, dipujuk untuk berkahwin

Jelasnya, arwah bapanya merupakan salah seorang ahli tertinggi GISB dan ibunya direkrut masuk ke dalam organisasi itu ketika melanjutkan pelajaran di universiti awam.

“Dia (ibu) pergi ceramah Al-Arqam dan berjumpa dengan seorang ustazah ketika itu. Ibu saya seorang yang lurus, dia sukakan agama. Dia (ustazah) pujuk ibu saya tak payah belajar, kahwin je dengan ustaz.”

Ibunya yang ketika itu berumur 22 tahun mempercayai kata-kata ustazah itu dan menyampaikan hasrat untuk berkahwin kepada ahli keluarga.

“Dia sampaikan pada nenek saya. Nenek saya masa tu okay sebab kahwin benda baik,” ujarnya.

Kongsinya lagi, perkahwinan pertama ibunya bukanlah dengan arwah bapa dan perkahwinan pertama itu hanya bertahan selama enam bulan.

“Dia berkahwin dengan suami pertama dalam group Al-Arqam tu tapi tak boleh dapat anak sebab ada masalah.”

Arwah bapa dah ada 3 isteri

Selepas bercerai, ibunya dipujuk untuk berkahwin dengan seorang ustaz iaitu arwah bapanya, tanpa mengetahui ustaz tersebut sudah memiliki tiga orang isteri.

“Bayangkan perkahwinan pertama dah ada trauma, kahwin kali kedua ada trauma baru.”

Dedahnya lagi, berlaku pengabaian kepada ibunya sehingga mengalami masalah kemurungan postpartum.

“Nak tahu kerja mak saya apa dalam kem? Mak saya ni bekas pelajar perubatan. Kerja dia dalam kem tu cuci kenc*ng dan b*rak anak-anak isteri pertama hingga ketiga.”

Susulan trauma yang dihadapi, ibunya sehingga kini masih belum pulih dan bergantung dengan ubat-ubatan.

Tidak mampu untuk bercerita dengan lebih lanjut, Sabrina meminta orang ramai untuk mendoakan kesihatan ibunya dan berharap mereka sekeluarga akan terus kuat untuk mengharungi kehidupan.

image is not available

Korang boleh tengok beberapa pendedahan lain berkaitan GISB yang dikongsikan Sabrina di TikTok.

Sumber: TikTok

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.