‘Sampai sekarang saya ingat budi baik Kapten Amrul’ – Kartunis Ujang

LocalEntertainment
5 Nov 2026 • 11:49 AM MYT
The Reporter
The Reporter

Malay site offers reporting updates and viral community news from Malaysia

Kartunis Ujang mengenang jasa baik Kapten Amrul selepas membaca berita perkahwinannya dengan Dr. Fie.

Kisah perkahwinan Dr. Fie dengan Kapten Amrul mengimbau kembali kenangan kartunis terkenal tanah air, Ujang, terhadap jasa baik juruterbang berkenaan yang pernah menceriakan hatinya ketika berdepan detik sukar selepas kehilangan pekerjaan.

Menerusi perkongsian di media sosial, Ujang atau nama sebenarnya Ibrahim Ujang Anon berkata, beliau pada mulanya hanya membaca berita perkahwinan pasangan itu secara sepintas lalu sebelum terkejut apabila mengetahui pengantin lelaki merupakan Kapten Amrul dari AFJets.

Menurutnya, nama tersebut mengingatkannya kepada satu peristiwa beberapa tahun lalu ketika beliau sedang bersedih selepas diberhentikan kerja dalam tempoh 24 jam oleh sebuah syarikat penerbitan.

Ketika berdepan kesempitan hidup, Ujang menerima panggilan daripada pihak AFJets yang menjemputnya datang ke Lapangan Terbang Subang.

Beliau kemudian memenuhi jemputan itu bersama seorang rakan dan di situlah beliau pertama kali berkenalan dengan Kapten Amrul.

Ujang percaya juruterbang berkenaan mungkin bersimpati dengan nasibnya sehingga mengambil keputusan untuk membawanya menaiki helikopter mengelilingi Kuala Lumpur.

Menurutnya, pengalaman menaiki helikopter termasuk melalui kawasan berhampiran puncak Menara Berkembar Petronas (KLCC) berjaya menghilangkan kesedihannya ketika itu.

Bagaimanapun, beliau berseloroh bahawa perasaan sedihnya bertukar menjadi cemas kerana agak gayat dengan ketinggian.

Mengimbau kembali kejadian tersebut, Ujang mengakui masih mengenang jasa baik Kapten Amrul sehingga hari ini, namun tidak mengetahui bagaimana mahu membalas budi berkenaan.

“Sampai sekarang den ingat budi baik Kapten Amrul dan tak tahu nak balas macam mana sebab dia lagi kaya daripada den,” katanya dalam loghat Negeri Sembilan.

Ujang turut menitipkan doa agar Kapten Amrul dan isterinya sentiasa dikurniakan kebahagiaan serta keselamatan dalam kehidupan berumah tangga.

“Hanya doa yang dapat den titipkan semoga Allah memberikan kebahagiaan dan keselamatan kepada Kapten Amrul dan isteri sehingga ke anak cucu. Amin,” katanya.

Terdahulu, Dr. Fie atau nama sebenarnya Dr. Afifah Hidayah Ahmad Tawfek selamat mendirikan rumah tangga dengan Kapten Amrul Nizar Anuar pada 1 November lalu.

The post ‘Sampai sekarang saya ingat budi baik Kapten Amrul’ – Kartunis Ujang appeared first on The Reporter.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved